SEPANG: Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial termasuk pesanan Internet yang akan dikuatkuasakan 1 Jan tahun depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ia tetap akan diteruskan demi memastikan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna tercapai.

"Kita tidak akan tangguh," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kerangka itu susulan surat terbuka yang dihantar oleh Gabungan Internet Asia (AIC) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan AIC dalam surat terbuka kepada Anwar menggesa agar kerajaan menangguhkan rancangan untuk mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab mendakwa langkah pelesenan itu tidak boleh dilaksanakan bagi industri berkenaan serta boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Bagaimanapun penyedia perkhidmatan e-hailing Grab semalam dilaporkan menafikan terlibat dalam menyuarakan gesaan supaya kerajaan menghentikan hasrat berkenaan, dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan mengenai pelesenan untuk platform media sosial.

Fahmi menyifatkan surat berkenaan sebagai pelik kerana isi kandungan surat serta jumlah logo syarikat yang menganggotai AIC sentiasa berubah.

"Saya sudah semak. Mereka (AIC) hantar satu surat pada 23 Ogos lepas, diikuti satu surat pindaan pada 26 Ogos dan satu lagi pagi tadi. Satu surat yang sama - pertama ada banyak logo, kemudian tinggal enam logo dan terakhir tiada logo, surat pertama kata 'unworkable' dan sekarang ini pandangan mereka sudah berubah," katanya.

Susulan itu beliau mempelawa AIC untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan pelaksanaan tersebut, kerana kerajaan sentiasa mengambil sikap terbuka.

"Saya bersedia untuk berjumpa dengan AIC. Apa yang saya dimaklumkan, MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sudah bertemu dengan AIC pada Mei lepas, namun AIC minta masa sebulan untuk mereka sampaikan pandangan kepada MCMC, tetapi mereka minta pula dilanjutkan, bukan sekali tapi beberapa kali," katanya.

Ditanya kemungkinan pelaksanaan kerangka itu akan menyebabkan syarikat asing menarik diri daripada beroperasi di negara ini, Fahmi dengan ringkas berkata: "kalau mahu beroperasi di negara ini, kena hormat dan patuh kepada undang-undang Malaysia".

-- BERNAMA