Menurut Perdana Menteri, beliau memberi jaminan bahawa pihak yang menggondol hak dan dana rakyat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Saya hendak pastikan hal itu tidak berlaku dan berilah kesempatan kepada Kerajaan Perpaduan ini untuk melaksanakan program bagi membersihkan negara daripada segala keterlanjuran ‘perompak-perompak besar’.
“Dan juga (demi usaha) kita dalam memberi penumpuan sepenuhnya kepada langkah dalam memelihara segala kepentingan rakyat. Saya tak peduli apa yang disebut ditomahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik.
“Percayalah, kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri ,Timbalan-Timbalan Menteri dan semua anggota pentadbiran kerajaan tahu bahawa kita serius untuk bangkitkan soal ini dan pastikan ada perubahan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Landskap Negara 2023 (HLN 2023) di Taman D.R. Seenivasagam, dekat sini, pada Sabtu.
Antara hadir sama, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Dalam pada itu Anwar berkata usaha menangani perkara berkenaan dapat dijayakan sekiranya semua jentera kerajaan dan rakyat dapat bersama-sama ke arah itu.
“Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita, memberkatikan usaha kita dan jadikan Malaysia ini sebagai contoh.
“Ia di mana negara yang majoriti Melayu dan Islam akan tetapi dapat memelihara kepentingan semua kaum, sebagai negara yang aman, berdaulat dan dapat mamacu pertubuhan yang membanggakan,” katanya lagi.
Bertemakan ‘Landskap Berkualiti Malaysia Madani’ penganjuran HLN 2023 turut dimeriahkan dengan penglibatan 31 pameran landskap dan 14 laman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Perak.
Penganjurannya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap selain menyebarluas kepentingan landskap melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.