KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang yang baharu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini menggariskan tindakan saman yang perlu dimulakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap media antarabangsa.

Kegagalan berbuat demikian, kata Ahli Parlimen Larut itu lagi, dikhuatiri akan meletakkan kedudukan Malaysia dalam imej tercemar ekoran berita-berita dari luar negara yang beliau gambarkan sebagai ‘cubaan memalukan negara’.

Jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan yang merosakkan imej negara, tegas Hamzah lagi, maka kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pada 24 November 2022, sebaik saja YAB Tambun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, sebuah agensi berita dari Itali Agenzia Nova menerbitkan artikel yang bertajuk ‘First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country’.

“Laporan itu jelas menghina YAB Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tindakan tegas harus diambil. Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa YAB Tambun sudahpun diberi pengampunan oleh Yang Di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Hamzah berkata demikian sewaktu berucap membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, pada hari pertama sidang Parlimen di sini hari ini.

Katanya lagi, Perdana Menteri wajib mengambil tindakan terhadap agensi luar dan jangan hanya mengambil tindakan terhadap mereka dalam negara sahaja serta jangan dilihat sebagai jaguh kampung semata-mata.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengucapkan syabas kepada Anwar yang mengeluarkan kenyataan untuk memecat mana-mana anggota Kabinet yang menyalahgunakan kuasa atau yang disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Namun, kata Ketua Pembangkang itu lagi, kenyataan tersebut juga mengelirukan rakyat serta dunia apabila terdapat media antarabangsa seperti Bloomberg yang menyiarkan laporan bertajuk ‘Malaysia PM Picks Graft- Tainted Leader as One of His Deputies’.

“Jangan sekali-kali pemimpin negara dilabelkan sebagai hipokrit. Cakap tak serupa bikin. Biar jelas supaya rakyat dan dunia yakin akan kepimpinan negara.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan, ‘A Trading Nation’. Maka kita perlu imej yang konsisten dengan amalan bebas rasuah. Kepercayaan negara-negara luar terhadap Malaysia mesti dikekalkan dengan imej yang baik,” kata beliau lagi.

Hamzah berkata, rakyat tidak mahu melihat Perdana Menteri berkompromi dengan kumpulan tertentu bagi menyucikan ‘Kluster Mahkamah’ atau membebaskan mereka daripada pertuduhan atau hukuman yang sedang mereka hadapi.

“Apatah lagi apabila Peguam Negara yang dilantik seperti dinyatakan oleh YB Menteri Undang-undang secara terbuka mahu melantik ‘orang dia’ sebagai Peguam Negara.

“Adakah ini yang YAB Tambun maksudkan dengan slogan reformasi?” soal Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu lagi.