KLUANG: Peralihan fasa pandemik COVID-19 kepada fasa endemik akan diputuskan bergantung kepada landskap semasa wabak berkenaan dalam negara.

Keputusan yang akan dibuat juga termasuk melihat kadar kenaikan kes itu selepas pergerakan rentas negeri dan negara selain pembukaan pelbagai sektor ekonomi.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, kerajaan juga sedang melihat kesan impak COVID-19 selepas sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dibuka.

Beliau berkata, keputusan peralihan itu adalah tepat kerana masyarakat tiada pilihan dan perlu hidup bersama virus tersebut.

"Saya sudah umum (sebelum ini) kita (kerajaan) sudah buat keputusan peralihan fasa endemik di mana kita tidak ada pilihan untuk hidup bersama COVID-19… dan saya percaya keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dibawa ke Kabinet satu keputusan tepat.

“(Bagaimanapun) kena tengok dulu kelonggaran yang diberikan (kerana) kebelakangan ini rentas negeri, rentas negara, sektor ekonomi yang diberikan kesannya kepada jumlah COVID-19. Itu akan tentukan bila kita boleh akan umumkan fasa endemik ini,” kata Hishammuddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Jiwa Murni di sini, pada Sabtu.

Jelas Hishamuddin, pada ketika ini juga, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilancarkan oleh kerajaan berjalan lancar sementara Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pula sedang menghalusi suntikan penggalak COVID-19.