SEMPORNA: Kerajaan berusaha memastikan semua rakyat hidup dalam keadaan lebih baik dan sejahtera meskipun tinggal di kawasan yang jauh seperti di pulau-pulau, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan ingin memastikan kemudahan di Semporna, terutama di kawasan pulau, dapat terus dipertingkat demi kesejahteraan rakyat dan pelancong.

"Sekarang kita sudah (hampir) bebas (daripada) COVID-19, pelancong asing akan datang ke Semporna, ada Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Mataking dan Pulau Sipadan. Bila pelancong datang, penduduk Semporna dapat limpahan ekonomi, Sabah dan negara bertambah baik.

"Sebab tu sejauh mana, pulau mana, kerajaan tetap beri perhatian. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak mahu ada rakyat yang ketinggalan," katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian Program Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia di Pulau Mabul malam tadi.

Annuar juga berkata pertemuan malam tadi merupakan tanda ingatan kerajaan kepada rakyat Malaysia termasuk pasukan keselamatan yang berada di Pulau Mabul.

"Terima kasih rakyat Malaysia, malam ini adalah malam dedikasi kita sebagai satu Keluarga Malaysia yang berdiri teguh, kita semua adalah adik-beradik satu keluarga," katanya dalam majlis yang dihadiri lebih 1,000 penduduk pulau itu.

Pegawai Daerah Semporna Juraimin Jadil pula berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia diharap dapat mengadakan lebih banyak program pendidikan serta kemahiran yang berkaitan kepada penduduk di kawasan itu.

-- BERNAMA