KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius isu penyamaran nelayan asing yang dikaitkan dengan penyewaan lesen oleh pengusaha tempatan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata Jabatan Perikanan (DOF) hanya mengeluarkan lesen kepada warganegara atau syarikat tempatan dan sekiranya terdapat penyalahgunaan lesen berkenaan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 13 Akta Perikanan 1985 termasuk penggantungan atau pembatalan lesen vesel.

"Sehingga kini, sebanyak 772 lesen vesel zon C2 (laut dalam) telah dibatalkan. Walaupun usaha ini mencabar, kerajaan kekal komited untuk memastikan lesen tidak disalahgunakan dan integriti sektor perikanan terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Arthur berkata beberapa langkah telah diambil bagi mencegah penyalahgunaan lesen ini termasuk memasang alat penjejakan pada vesel zon C dan C2, menetapkan syarat pendaratan ikan minimum untuk pembaharuan lesen, serta mengadakan program pemutihan vesel melibatkan pemeriksaan khas untuk memastikan vesel yang berlesen mematuhi undang-undang.

Bagi mengurangkan kesan negatif pukat tunda terhadap ekosistem laut pula, beliau memaklumkan kerajaan telah mewujudkan zon konservasi di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, serta bertindak mengubah kawasan penangkapan pukat tunda ke jarak lebih jauh dari pantai.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi penggulungan bagi Kementerian Kerja Raya memberitahu, anggaran kos untuk membaiki turapan permukaan jalan, jambatan, cerun dan kemudahan jalan yang rosak akibat banjir baru-baru ini mencecah RM204.1 juta setakat ini.

Beliau berkata jumlah itu meliputi RM109.235 juta untuk membaiki 78 permukaan jalan; RM15.195 juta (penyelenggaraan jambatan); dan RM79.706 juta lagi (membaiki lampu, longkang dan cerun). 

Banjir yang disebabkan peralihan Monsun Timur Laut telah menjejaskan beberapa negeri dengan Kelantan dan Terengganu adalah yang paling teruk. 

-- BERNAMA