Penguat kuasa di peringkat kerajaan negeri merupakan pihak terawal yang akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata jika berlaku aktiviti yang menjejaskan sumber semula jadi seperti sungai, kerajaan negeri tidak akan menunggu tindakan daripada kerajaan pusat, sebaliknya akan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat.

"Yang akan menerima kesan (pencemaran) terlebih dahulu adalah di peringkat negeri, jadi kita akan pastikan tidak berlaku sebarang pencemaran.

"Kita sangat berhati-hati dalam bab ini sebab sungai adalah sumber air untuk pelbagai kegunaan di negeri ini termasuk untuk minum," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pemimpin Bersempena Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kedah di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin yang mengatakan kerajaan negeri bakal berdepan tindakan saman oleh Kerajaan Persekutuan jika premis atau projek pembangunan di negeri masing-masing menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Pada Sabtu, media melaporkan Yeo sebagai berkata tindakan itu antara pendekatan tegas kementerian bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Yeo turut mendedahkan 25 sungai meliputi empat negeri maju berada pada Kelas 5 dalam senarai sungai paling tercemar di negara ini.

Dalam pada itu Mukhriz memberitahu setakat ini masalah pencemaran serius melibatkan sungai di Kedah tidak timbul, namun kerajaan negeri sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan segera jika ia dikesan berlaku.

-- BERNAMA