RAWANG: Gabungan Teksi Malaysia (GTM) menyokong keputusan kerajaan untuk mengharamkan kenderaan gas asli (NGV) berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Yang Dipertua GTM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pengguna teksi tidak perlu risau kerana kerajaan memberi jaminan penukaran terhadap sistem itu akan ditanggung Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV).

Mengakui ada pemandu teksi tidak bersetuju dengan inisiatif berkenaan, beliau menyifatkan ia hanya membabitkan kes terpencil.

“Memang ada beberapa rakan pemandu teksi beritahu saya mereka kurang setuju langkah kerajaan ini tapi itu disebabkan mereka tidak cukup maklumat. Selepas saya beritahu kerajaan ada beri insentif menerusi PNGV dengan pampasan RM3,000, mereka faham dan dapat terima fakta ini.

“Jadi saya menyeru kerajaan umumkan dalam kadar segera apakah subsidi yang akan diberi kepada pemandu teksi dan cara mekanisme itu dilakukan, hanya dengan langkah ini dapat meredakan kerisauan pemandu teksi,” katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Rabu.

Kamarudin menjelaskan, ini bukan isu baharu kerana mereka telah dimaklumkan sejak 2020 bahawa Petronas bercadang menghentikan penjualan NGV atas faktor kerugian yang ketara.

Beliau menambah, GTM menyambut baik keputusan itu memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepadanya dalam sesi libat urus sebelum ini bahawa kerajaan sedia memberi subsidi petrol khas kepada pengusaha teksi.

Mengulas hasrat kerajaan untuk memastikan keselamatan pengguna, pensyarah kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusoff Ishak berpandangan, ia satu langkah ke hadapan yang patut dipuji.

“Kita tahu NGV lebih mesra alam berbanding petrol dan diesel tapi ada kajian dari Eropah pada 2016 mendapati peningkatan gas asli untuk kenderaan tidak beri perbezaan besar dari segi gas rumah hijau dan pencemaran udara.

“Kita juga faham kenderaan NGV perlu lebih kerap selenggara dan semakin berusia kenderaan itu maka lebih banyak komponen kena ganti. Ini perlu diperhalusi sebab di Malaysia, kita kurang cekap dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Rentetan itu, beliau berharap pengguna yang tergolong dalam kategori berkenaan menyambut baik langkah kerajaan kerana ia satu langkah ke hadapan untuk memastikan keselamatan orang ramai.