Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memerangi pandemik COVID-19 yang dikuatkuasakan kerajaan persekutuan dan memasuki hari ketujuh pada Ahad, setakat ini menerima pelbagai reaksi daripada kerajaan negeri dengan ada yang menerimanya sepenuh hati dan ada juga yang masih ragu-ragu.

PKPB dijadualkan berakhir 12 Mei ini namun perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pada 2 petang Ahad bahawa ia perlu dilanjutkan hingga 9 Jun.

Bagaimanapun, menurut konsultan perundangan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, di bawah perlembagaan, semua kerajaan negeri perlu mematuhi undang-undang persekutuan dan tidak boleh melakukan sesuatu yang mungkin menjejaskan atau bercanggah dengan perintah tertentu persekutuan.

Dalam satu temu bual dengan Bernama TV pada Ahad, Gurdial berkata di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, semasa tempoh penularan pandemik COVID-19 ini, kerajaan persekutuan adalah satu-satunya agensi penguat kuasa atau pihak berkuasa yang boleh menguat kuasa undang-undang ini dan bukannya kerajaan negeri.

"Restoran, medan selera, gerai penjaja, gerai makanan dan trak makanan boleh dibuka untuk perniagaan food stalls, ini adalah undang-undang yang berkuat kuasa di seluruh negara, ini adalah apa yang kita sifatkan sebagai undang-undang persekutuan di bawah perlembagaan.

"Sebaik sahaja terdapat undang-undang persekutuan, maka semua negeri perlu mematuhinya dan jika terdapat sebarang konflik antara undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan mengatasi dan perlu dipatuhi.

"Bagaimanapun masih terdapat kekeliruan di beberapa negeri di mana kebanyakan restoran masih ditutup manakala perniagaan trak makanan dan gerai makanan tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk penghantaran, kekeliruan ini disebabkan oleh kebimbangan melanggar peraturan," katanya.

Gurdial berkata kekeliruan ini hendaklah diperjelas dan diselesaikan oleh kerajaan persekutuan bagi membolehkan peraturan persekutuan dipatuhi dan dihormati oleh semua kerajaan negeri.

Selain itu, beliau berkata di bawah perlembagaan, undang-undang kerajaan tempatan hanya boleh digunakan bagi tujuan pelesenan premis perniagaan dan khususnya dalam menangani situasi kesihatan dan sanitasi tertentu yang berkaitan dengan perjalanan perniagaan seperti restoran.

"Jika terdapat tikus berkeliaran atau keadaan tidak bersih, maka mereka (pihak berkuasa negeri) boleh mengambil tindakan, selain itu perkara berkaitan penyakit berjangkit atau COVID-19, undang-undang persekutuan perlu diguna pakai dan tiada alasan bagi kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang bercanggah dengan PKPB," katanya.

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kerajaan persekutuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19. Ia dijadualkan berakhir pada 12 Mei namun berdasarkan kejayaan besar yang diperoleh, ia telah dilonggarkan kepada PKPB pada 4 Mei.

Perdana menteri, dalam amanatnya mengenai situasi COVID-19, pada Ahad yang bersiaran di stesen televisyen rasmi, berkata PKPB masih diperlukan untuk memerangi pandemik itu.

Berbeza dengan PKP yang begitu ketat menyekat pergerakan orang ramai dan mengehadkan operasi kepada hanya perkhidmatan penting, PKPB kini dilonggarkan kepada sektor ekonomi sekali gus membolehkan orang ramai kembali bekerja dengan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan dibuka semula.

-- BERNAMA