KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM3 juta bagi pengurusan Yayasan Karyawan, dan RM2 juta bagi usaha mempopularkan karya sasterawan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada barisan sasterawan negara, dan membolehkan sehingga 60 judul baharu diterbitkan serta dikembangkan menjadi karya agung yang boleh diteladani.

"Kita tidak mahu hasil karya hanya berlegar dalam kalangan elit yang memenuhi rak buku di perpustakaan peribadi mereka.

"Selain daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Yayasan Karyawan itu khusus tugasnya untuk meningkatkan usaha memperkenalkan kepada khalayak karya besar Melayu.

"Saya akan memberikan apa sahaja sokongan yang perlu kerana bagi saya ini adalah berkenaan survival bangsa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin (Empat jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan Febuari lepas, tiga agensi yang terlibat dalam terjemahan dan penerbitan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Yayasan Karyawan diperuntukkan RM20 juta bagi menggalakkan aktiviti berkenaan.

Mengulas mengenai kepentingan untuk memperkasakan karya dan ilmu sastera, Anwar berkata kekuatan ekonomi semata-mata tidak akan menjamin kekuatan sesebuah bangsa, negara atau tamadun.

Justeru, beliau berkata ia memerlukan daya usaha untuk memperkasakan budaya dan bahasa di samping menggali semula khazanah bangsa.

"Bagi saya ia adalah satu tugas besar. Bagi membangkitkan, membangun, dan memperkasa bangsa itu harus berteraskan kekuatan bahasa budaya dan dengan memunggah semula, menggali dan menghebahklan khazanah bangsa kita sendiri.

"Kekuatan ekonomi itu tidak akan menjamin kekuatan bangsa, negara dan tamadun tanpa usaha memperkasakan bahasa, budaya dan menggali khazanah, " katanya.

-- BERNAMA