Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan terus mengamalkan semangat keterbukaan dan kesediaan untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan sentiasa menolak sempadan kemungkinan.
"Tindakan kerajaan perlu holistik, selaras dan yang paling utama tertumpu kepada kesejahteraan jangka panjang negara.
"Rangka Kerja Ekonomi Madani yang saya perkenalkan tahun lepas menggariskan bagaimana Malaysia boleh bersedia untuk ekonomi global yang semakin dinamik dan kompleks.
"Memandangkan inovasi dan teknologi merupakan pemacu utama pertumbuhan dunia hari ini, kerajaan sedang bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan modal teroka dalam bidang ini untuk lima tahun akan datang.
"Bagi menangani krisis iklim, kemerosotan alam sekitar dan kehabisan sumber, kerajaan mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional 2030 dan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini untuk mengubah sektor tenaga, mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan negara memenuhi sasaran iklim," katanya.
Anwar berkata demikian semasa ucapannya sebelum melancarkan Forum Megatrends Khazanah 2024, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia telah lama menjadi pemain global dalam pembuatan elektronik dan elektrik, negara kini mesti beralih ke arah teknologi dan amalan yang lebih mampan sambil meningkatkan rantaian nilai semikonduktor dalam rangkaian bekalan global.
"Memandangkan permintaan untuk cip yang lebih maju terus meningkat seiring dengan percambahan kecerdasan buatan, kenderaan elektrik pemanduan autonomi serta sebagai tindak balas kepada pelbagai faktor geopolitik dan geo-ekonomi.
"Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 mestilah cukup lincah untuk membuat pelarasan yang diperlukan untuk bertindak balas terhadap kebimbangan kuasa pasaran," ujarnya.