PASIR MAS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kerajaan akan mempercepatkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 dan 2 di Kelantan tanpa kos berlebihan.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut projek PLSB akan dijalankan secara tender terhad untuk memastikan tidak ada kos berlebihan.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu segera hantar laporan berhubung PLSB Sungai Golok kepada Kementerian Kewangan (MOF) sebelum tender dibuka.

Saya bagi jaminan MOF akan segerakan laluan pantas untuk meluluskan dengan syarat ia bukan rundingan terus untuk menjamin supaya kos tidak meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai situasi semasa banjir di Jajahan Pasir Mas oleh Ketua Jajahan Pasir Mas Hazmi Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau telah meminta JPS dapat menghantar laporan mengenai projek PLSB Sungai Golok itu akhir bulan ini.

"Tetapi jadualnya saya tidak tahu, tetapi saya beritahu kalau boleh dipercepatkan supaya kalau boleh kelulusan di MOF disegerakan. Tetapi mungkin jadualnya bulan Januari kita bagi sedikit kelonggaran. Mesejnya ialah JPS perlu segerakan," katanya.

Ditanya mengenai sama ada peruntukan projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 dan 2 akan dikurangkan kerana akan dilaksanakan secara secara tender terhad, Anwar berkata perkara tersebut bergantung kepada tender.

"Ia ikut tender, tidak boleh tender biasa kerana mengambil masa terlalu panjang, tidak boleh rundingan terus kerana kos itu meningkat dan saya masih melihat fail-fail rundingan terus semua ada masalah kos meningkat jadi lebih baik kita ada tender terhad dan proses itu boleh dipercepatkan," katanya.

-- BERNAMA