KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan memperuntukkan kuota khas sebanyak 2,500 tempat kepada pelajar India bagi mengikuti program matrikulasi.


Ringkasan AI
  • Kerajaan disarankan memperuntukkan kuota khas 2,500 tempat kepada pelajar India dalam program matrikulasi untuk memastikan peluang pendidikan tinggi yang setara.
  • Langkah ini penting bagi pelajar yang mendapat keputusan 6A hingga 9A, kerana matrikulasi adalah platform yang mudah bagi mereka untuk memasuki universiti, khususnya kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, dan farmasi.
  • Datuk Sivaraj Chandran bimbang pelajar India akan terpinggir kerana 10 peratus kuota untuk bukan Bumiputera mungkin dikuasai oleh pelajar Cina yang lebih ramai.


Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pelajar dalam kalangan masyarakat itu tidak terpinggir dan mendapat peluang yang setara dalam pendidikan tinggi.

Menurutnya, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 10A dan ke atas mempunyai banyak pilihan seperti tawaran Unit Pusat Universiti (UPU), Asasi, biasiswa dan lain-lain.

"Namun, bagi pelajar yang mendapat 6A hingga 9A, matrikulasi merupakan platform yang mudah bagi mereka untuk memasuki universiti, khususnya bagi megikuti kursus-kursus kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi. Inilah tujuan utama matrikulasi dibuka kepada bukan bumiputera pada zaman Barisan Nasional.

"Kebanyakan pelajar India hanya ambil sembilan mata pelajaran sahaja melainkan mereka mengambil subjek tambahan seperti Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil.

"Dalam konteks ini, maka wajarlah kerajaan mempertimbangkan pelajar dari kategori 6A hingga 9A selepas permohonan pelajar dengan 10A diberi tempat," katanya.

Sivaraj yang juga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands memberitahu, walaupun inisiatif itu bertujuan untuk memberikan peluang kepada semua pelajar cemerlang, namun beliau bimbang pelajar India akan terpinggir dan teraniaya.

"Ini kerana 10 peratus kuota yang diperuntukkan kepada bukan Bumiputera, kemungkinan akan dikuasai pelajar Cina memandangkan bilangan mereka jauh lebih ramai," jelasnya. 

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua pelajar yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijamin tempat dalam program matrikulasi tanpa mengira latar belakang mereka.

Selaras hasrat mewujudkan persaingan sihat dan memantapkan integrasi nasional serta perpaduan kaum, bermula 2003 sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan pelajar program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera dan dasar diamalkan sehingga ke hari ini.