Anggaran perbelanjaan kerajaan dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 mencecah RM456 juta, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai menegaskan, kos tersebut meliputi keluasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi yang telah selesai dilaksanakan dan digantung pada 17 Januari 2017.

"Operasi pencarian pesawat MH370 oleh pasukan operasi melibatkan Malaysia, Australia dan Republik Rakyat China (RRC) di kawasan tambahan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi telah selesai dilaksanakan dan digantung pada 17 Januari 2017.

"Sehingga kini, anggaran perbelanjaan kerajaan dalam menanggung kos operasi pencarian tersebut adalah sebanyak RM456 juta.

"Keputusan menggantung operasi pencarian pesawat MH370 adalah selaras dengan persetujuan yang dicapai pada Mesyuarat Tripartite Peringkat Menteri di antara Malaysia, Australia dan Republik Rakyat China (RRC) yang telah diadakan pada 22 Julai 2016.

"Melalui mesyuarat tersebut, ketiga-tiga negara telah bersetuju sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baru yang sahih dan kukuh (credible) diperoleh, maka operasi pencarian selanjutnya akan dipertimbangkan," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Selayang, Willian Leong Jee Keen (PKR) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan kos yang terlibat dalam usaha pencarian MH370 sama ada satu laporan yang memberikan maklumat atau data penuh akan dikeluarkan untuk membantu penutupan pencarian dan syarat-syarat untuk meneruskan carian.

Tambahnya, Laporan Akhir Penyiasatan yang menyeluruh dan terperinci termasuk hasil siasatan ke atas pihak Kawalan Trafik Udara (ATC) serta Kementerian Pertahanan sedang disediakan dan akan dikeluarkan dalam tempoh satu tahun daripada tarikh pengumuman penggantungan operasi pencarian.

"Siasatan kemalangan dan insiden pesawat MH370 dilaksanakan oleh Pasukan Penyiasat Bebas Antarabangsa (Malaysian International Civil Aviation Organisation (ICAO) Annex 13 Safety Investigation Team For MH370) yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan bagi menyiasat punca kemalangan udara pesawat MH370 berlandaskan Annex 13 (Convention on International Civil Aviation, Aircraft Accident and Incident Investigation).

"Pasukan Penyiasat antarabangsa ini turut dianggotai oleh accredited representatives daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China, Perancis dan 2 negara anggota ASEAN iaitu Singapura dan Indonesia.

"Siasatan dijalankan dengan telus dan adil berdasarkan Annex 13 (Convention on International Civil Aviation, Aircraft Accident and Incident Investigation) di mana semua maklumat penting dikongsi bersama dengan semua accredited representatives termasuk Australia.

"Oleh yang demikian, dakwaan bahawa Malaysia tidak mengemukakan maklumat penting kepada pihak-pihak bertanggungjawab di Australia untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370 adalah tidak berasas," katanya.

Jelasnya, pasukan penyiasat akan mengemukakan satu laporan yang terperinci dan syor-syor penambahbaikan keselamatan industri penerbangan awam negara kepada pihak-pihak yang berkepentingan berdasarkan hasil laporan tersebut.