Keluarga kepada mendiang Teoh Beng Hock hari ini memperoleh ganti rugi berjumlah RM600,000 selepas kerajaan bersetuju membayar ganti rugi itu dalam kes saman kecuaian yang difailkan mereka terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan dan 12 yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub merekodkan penghakiman persetujuan itu selepas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes tuntutan saman itu.

Gobind juga berkata pihak defendan, iaitu Kerajaan Malaysia, SPRM dan 10 anggotanya, turut bersetuju untuk membayar RM60,000 sebagai kos.

Namun demikian, Gobind berkata keluarga Teoh masih mahu individu yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh, didakwa di mahkamah.

“Ini merupakan kemenangan besar kepada keluarga Teoh. Selepas enam tahun bertempuran di persada undang-undang, mereka kini mempunyai pengakuan SPRM dan kerajaan bahawa mereka bertanggungjawab untuk kematiannya.

"Kami akan terus mendesak polis bertindak dalam kes ini. Kami sudah melakukan segala apa yng mungkin dari segi undang-undang. Sekarang terpulang kepada polis untuk melakukan apa yang perlu dan kami tidak akan berhenti berjuang demi keadilan untuk Teoh," kata Gobind di dalam satu kenyataan.

Gobind, yang mengambil alih kes itu dari mendiang bapanya Karpal Singh, berkata beliau tidak akan menerima apa-apa bayaran daripada keluarga Teoh dan ini juga merupakan permintaan ayahnya.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas dipanggil ke pejabat SPRM bagi merekodkan keterangan atas dakwaan salah guna dana awam ke atas majikannya.

Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu mengenepikan keputusan koroner dalam inkues sebelum ini dan memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan apabila dia ditahan oleh (SPRM) dan menolak dakwaan bahawa mendiang membunuh diri.

Teoh, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM, pada pagi 16 Julai 2009.