Penjual kerang bakar dan belangkas, Ainol Adilah Abdul Rahman, 38, berkata, sebelum ini hidangan berasaskan belangkas tidak diminati kerana terdapat bahagian beracun pada haiwan marin itu yang boleh membawa maut.
Bagaimanapun, katanya, belangkas kini semakin digemari, sekali gus meningkatkan permintaannya di pasaran.
“Hidangan berasaskan belangkas amat jarang ditemui dan kawasan yang menjual menu eksotik ini juga terhad.
“Pada awalnya saya belajar menyiang belangkas di Pantai Remis, Kuala Selangor. Pada waktu itu belangkas hanya dibakar atau direbus untuk dimakan sebagai satu hidangan.
“Kebetulan pula saya ada produk sos cili, jadi saya mula hasilkan kerabu belangkas. Sudah hampir empat tahun pengunjung bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam akan singgah di gerai kami untuk menikmati sajian istimewa ini,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurutnya, menu belangkas semakin diminati ramai dan menawan selera pelanggan kerana hampir setiap hari laris terjual.
Tambahnya lagi, cabaran utama bagi menyediakan hidangan belangkas adalah memastikan cara menyiangnya betul terutama bagi mengeluarkan bahagian yang beracun.
Ainol Adilah mengakui perlu berhati-hati dan memastikan bahagian beracun itu dibuang sebelum dihidangkan kepada pelanggan kerana dikhuatiri akan membawa mudarat jika penyajiannya tidak dilakukan dengan betul.
Katanya, permintaan terhadap belangkas boleh mencecah 100 ekor sehari sepanjang Ramadan.
“Sebelum menyediakan hidangan belangkas, kita perlu bakar atau rebus terlebih dahulu untuk pastikan bahagian perutnya keras supaya senang kita buang sebab di situ terletaknya racun.
"Proses ini sangat penting bagi memastikan perut belangkas tidak pecah.
“Kita perlu berhati-hati sebab risau pelanggan sakit walaupun orang itu sudah biasa menyiang belangkas tetapi perlu juga mengambil langkah berjaga-jaga.
“Stok belangkas memang mudah didapati dan selalunya kita akan ambil di Perak, Kedah dan Selangor,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ainol Adilah berkata, hidangan belangkas bersaiz besar boleh dinikmati antara tiga hingga empat orang, manakala saiz kecil pula hanya cukup untuk seorang.
Menurutnya, harga yang ditawarkan untuk kerabu belangkas bersaiz kecil ialah RM15, manakala besar pula RM35 untuk satu bekas.
“Isi belangkas sedikit, yang paling banyak sekali ialah telur tetapi bahagian telur yang paling sedap jika dibuat kerabu atau pelbagai juadah lain,” katanya. -Sinar Harian