PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menjadualkan semula keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi semakan untuk mengembalikan semula perintah melepas dan membebaskan beliau daripada empat pertuduhan berkaitan projek Jana Wibawa.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa mahkamah telah memaklumkan kepada mereka tentang perkara berkenaan menerusi surat pada Isnin.

Tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 20 Ogos telah dikosongkan dan dijadualkan semula pada 11 Sept ini.

Pada 9 Julai lepas, panel lima hakim Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Ogos bagi keputusan selepas selesai hujahan daripada pasukan pembelaan Muhyiddin dan pihak pendakwaan.

Panel itu terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Muhyiddin, 77, memohon kebenaran untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan semula empat tuduhan salah guna kuasa.

Pada 28 Feb, panel Mahkamah Rayuan merangkumi Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Muhyiddin telah dilepas dan dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 15 Ogos tahun lepas setelah mendapati empat tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu kabur dan tidak berasas.

Pada 27 Mac, Muhyiddin memohon semakan, mendakwa keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu pada masa itu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

-- BERNAMA