KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai pengecualian bil air dan elektrik daripada cadangan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijadualkan bermula Mac ini belum dimuktamadkan lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kerajaan akan membincangkan perkara itu terlebih dahulu kerana beberapa perkara seperti siapa yang layak mendapat pengecualian, perlu dikaji.

Ditanya sama ada kerajaan akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet akan datang, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, "Belum ada apa-apa lagi yang khusus tentangnya, tetapi sekarang ini Kementerian Kewangan sedang meneliti keseluruhan keadaan."

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis permeteraian perjanjian pembiayaan antara Bank Islam Malaysia Bhd dan Sand Town Solar Sdn Bhd, anak syarikat Gading Kencana Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mulai 1 Mac ini, kadar SST bagi kebanyakan perkhidmatan termasuk perkhidmatan digital berpangkalan di luar negara akan dinaikkan kepada lapan peratus daripada enam peratus.

Pada masa ini, hanya perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan perkhidmatan parkir kenderaan diberi pengecualian daripada kenaikan cukai itu.

Kenaikan kadar cukai dan item bercukai sebelum ini diumumkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan percukaian dalam Belanjawan 2024 pada tahun lepas, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

Dalam perkembangan lain, Fadilah berkata kementeriannya sedang membuat penilaian terhadap beberapa cadangan berkaitan skim berskala besar untuk bekalan solar menggunakan sistem terapung atas air.

"Insya-Allah, Kita akan luluskan satu projek perintis bagi sistem terapung ini dan seterusnya akan buka permohonan bagi pihak industri untuk menyertainya," katanya.

Fadilah berkata pihaknya menerima banyak permintaan dan minat daripada pemain industri bagi sistem terapung tersebut.

-- BERNAMA