Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan berhubung isu penyelewengan pemberian kontrak perbekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak, esok (Isnin).

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata keputusan yang akan diumumkan esok itu diambil pada Jumaat lepas (8 Jun), setelah pihaknya menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut minggu lepas.

"Saya maklum mengenai laporan oleh pihak media mengenai kemungkinan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak perbekalan tenaga solar kepada sekolah-sekolah di Sarawak.

"Saya telah menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini sejak minggu lepas dan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan juga telah dimaklumkan.

"Satu keputusan tegas saya ambil pada Jumaat lalu dan keputusan ini akan saya umumkan secara rasmi esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Penyelewengan kontrak tenaga solar: Tindakan tegas diambil

Laporan sebuah portal sebelum ini, menyebut mengenai kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas, agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

-- BERNAMA