TANJUNG MALIM: Tidak dinafikan Jambatan Lama Sungai Slim atau turut dikenali sebagai jambatan Slim Village yang runtuh petang semalam akibat kejadian kepala air memainkan peranan besar dalam kehidupan harian penduduk sekitar.

Jambatan yang menjadi saksi pertempuran 'Battle of Slim' antara tentera British dan Jepun itu, menghubungkan pekan Slim Village dengan bandar Slim River dan bandar Behrang.

Bagi peniaga ikan Ali Abd Hamid, 40, beliau akan melalui jambatan itu dari kediamannya di Kampung Rasau untuk menjual hasil tangkapan di pekan Slim Village setiap hari.

Anak jati Kampung Rasau itu berkata laluan itu juga digunakan untuk ke kedai, klinik, masjid dan sekolah.

"Sejak saya lahir jambatan ini sudah ada, tak pernah jambatan ini runtuh selama berkhidmat, harapnya jambatan sementara akan dibina cepat sebab kalau tidak, kami perlu guna jalan alternatif sejauh kira-kira 50 kilometer jika hendak ke pekan Slim Village," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, isterinya Faizah Che Omar, 50, berkata Jambatan Lama Sungai Slim turut menghubungkan pekan Slim Village dengan Kg Sawa, Kg Rasau, Kg Tambak, Kg Penderas, Kg Sungai Gesa, Kg Piong dan Kg Sg Dara.

"Penduduk di kawasan pekan Slim Village pula akan ke sebelah sini untuk anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Slim Village dan SMK Slim dan SMK Dato' Zulkifli Muhammad," katanya.

Sementara itu, mandur ladang M Kumar, 48, berkata beliau yang tinggal di Kampung Rasau sering berulang-alik ke pekan Slim untuk mendapatkan barang keperluan terutama di pasar.

"Jambatan ini juga jadi laluan orang hendak pergi kerja ke Proton City dan akan jadi laluan pintas jika musim perayaan," katanya.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira 7 malam semalam, konkrit Jambatan Lama Sungai Slim itu runtuh selepas dirempuh aliran kepala air yang membawa serpihan kayu-kayan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ketika tinjauan ke jambatan itu berkata buat sementara waktu jambatan bailey akan dibina yang dijangka siap dalam masa lima hari.

-- BERNAMA