PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengalu-alukan kenyataan rakan sejawatnya dari Perancis mengenai pendirian rasmi negara itu yang menyokong penuh kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia berdasarkan sempadan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Saya menyambut baik kenyataan lisan dan bertulis yang dizahirkan Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis berhubung pendirian rasmi Kerajaan Perancis yang menyokong penuh kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia berdasarkan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Ini seterusnya dapat menyangkal percubaan mana-mana pihak yang mencabar dan menafikan kedaulatan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Luar Perancis dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman sesawang awal hari ini memaklumkan menterinya, Catherine Colonna "mengiktiraf kedaulatan penuh Malaysia berdasarkan sempadan yang diiktiraf antarabangsa", semasa pertemuan dua hala dengan Zambry di Paris.

Zambry telah mengadakan lawatan dua hari ke Perancis dari 1 hingga 2 Jun, yang juga merupakan lawatan kerja sulungnya ke negara itu sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata semasa mesyuarat dua hala yang diadakan pada 2 Jun, kedua-dua menteri telah menilai kemajuan kerjasama sedia ada dan meneroka potensi kolaborasi baharu yang lebih komprehensif.

"Kami juga bersetuju agar interaksi dan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, seperti pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan, kesihatan dan pelbagai lagi perlu terus dipertingkatkan," katanya.

Zambry dan Colonna turut membincangkan usaha-usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, terutamanya komitmen Perancis dalam meningkatkan lagi kerjasama pembangunan dengan ASEAN serta situasi yang membimbangkan di Myanmar.

"Kami juga menzahirkan sokongan terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan inklusif demi kemakmuran perdagangan dan perniagaan," katanya menerusi kenyataan itu.

-- BERNAMA