KUALA LUMPUR: Malaysia dan China bersetuju menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman melalui perundingan mesra dan menekankan kepentingan untuk mengekalkan keamanan, keselamatan serta kestabilan di kawasan tersebut.


Ringkasan AI
  • Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Malaysia dan China telah bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman melalui perundingan mesra.
  • Kedua-dua negara menekankan kepentingan untuk mengekalkan keamanan, keselamatan, dan kestabilan di kawasan tersebut.
  • Kedua-dua pihak setuju bahawa rundingan perlu mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara umum, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.


Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua negara menegaskan rundingan perlu dilakukan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara umum termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.

"Kedua-dua pihak akan melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim secepat mungkin bagi mewujudkan dialog dan kerjasama maritim.

"Kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk melaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan mengenai Deklarasi Perilaku Pihak-pihak (DOC) di Laut China Selatan dan menantikan kesimpulan awal Kod Tatakelakuan (CoC) di Laut Laut China Selatan," kata kenyataan bersama itu pada Khamis.

CoC bertujuan mewujudkan asas kerjasama demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, menyaksikan China dan beberapa anggota ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina mempunyai pertikaian wilayah dan tuntutan bertindih.

Mengulas lanjut, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa China dan Malaysia mempunyai kepentingan bersama yang luas serta pendirian dan cadangan yang serupa dalam hal ehwal antarabangsa.

Selain itu, kedua-dua pihak menegaskan komitmen terhadap tujuan dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bersama-sama menegakkan sistem antarabangsa dengan PBB sebagai terasnya.

Malaysia dan China juga akan mempertahankan perpaduan dan kerjasama masyarakat antarabangsa serta melindungi keadilan antarabangsa, selain mempromosikan nilai kemanusiaan iaitu keamanan, pembangunan, kesaksamaan, keadilan, demokrasi serta kebebasan.

Dalam perkembangan sama, Kuala Lumpur-Beijing berhasrat mempercepatkan penyelesaian Rundingan Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.

"Malaysia dan China akan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat China-ASEAN 2024 bagi meningkatkan pembinaan negara yang aman, selamat dan terjamin.

"Dalam masa sama, menambah dorongan untuk memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China, dan bersama-sama membina hubungan Komuniti ASEAN-China yang lebih erat dengan masa depan yang dikongsi bersama," kata kenyataan bersama itu lagi.

Selain itu, China mengalu-alukan Malaysia mengambil peranan sebagai penyelaras negara untuk Hubungan Dialog ASEAN-China pada 2024, dan menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan sempena lawatan kerja Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia selama tiga hari, yang bermula pada 18 Jun lalu.

Rangka lawatan tersebut bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah dagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).