Kenyataan Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA), Datuk Johari Abdul Ghani yang menyifatkan penyewa di Plaza Bukit Bintang (Plaza BB) hanya mementingkan diri sendiri dilihat sebagai alasan untuk mengelak daripada menjawab isu sebenar.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Bukit Bintang Plaza Kuala Lumpur (PPPBBPKL), Hassan Saad berkata, pendirian para penyewa adalah konsisten sejak awal dan menyatakan sokongan
terbuka mengenai cadangan pembinaan Stesen MRT di Plaza BB.

"Kita juga sudah minta UDA menjamin kepentingan perniagaan kami semasa kerja-kerja pembinaan tersebut berlangsung.

"Rancangan awal adalah pembinaan Stesen MRT betul-betul di bawah bangunan Plaza BB yang akan menyebabkan bangunan ini terpaksa dirobohkan berikutan kebimbangan struktur bangunan sedia ada tidak dapat menampung kerja-kerja penggalian dan pembinaan terowong di bawah bangunan tersebut.

"Bagaimanapun setelah mengambil kira masalah yang bakal timbul, lokasi baru Stesen MRT adalah di bawah Jalan Bukit Bintang yang berhadapan dengan Plaza BB," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada pagi Jumaat, lebih 50 penyewa Plaza BB mengadakan piket aman di hadapan ibu pejabat UDA bagi menyuarakan harapan agar nasib peniaga di pusat beli-belah tersebut terbela.



Lebih 50 peniaga di Plaza BB mengadakan piket aman di hadapan ibu pejabat UDA. -Gambar Astro AWANI


Pada Khamis, Hassan mendakwa UDA mungkir janji apabila meminta peniaga mengosongkan tapak perniagaan mereka sebelum penghujung tahun ini.

Tambahnya, hak mereka untuk bertemu dan berbincang dengan pengurusan tertinggi UDA selama ini terus dinafikan.

Bagaimanapun Johari menyifatkan kenyataan penyewa di Plaza BB itu terlalu mementingkan diri sehingga sanggup mengenepikan pembangunan di kawasan tersebut.

Katanya, kenyataan Johari yang memberitahu peniaga tidak 'dihalau' turut dikatakan Hassan bercanggah dengan realiti sebenar.

"Tindakan UDA yang tidak menentu dan sering bertukar haluan menyukarkan lagi pihak kami untuk terus berniaga dalam keadaan Plaza BB yang dikepung dengan “hoarding” dan ditutup laluan utama trafik ke Plaza BB.

"Perniagaan merudum dengan teruk dengan tanggungan kerugian bulanan di antara 40 peratus sehingga 80 peratus sebulan mengikut jenis perniagaan dan lokasi penyewaan

"Pihak UDA hanya memberi diskaun sewa sebanyak 10 peratus mulai bulan Julai hingga September 2012 dan 20 peratus mulai bulan Oktober 2012 sehingga sekarang. Kadar tersebut jauh lebih rendah dari kerugian yang dialami oleh pihak kami," jelasnya.

Ujarnya, situasi itu menyebabkan penyewa menanggung kerugian sehingga tidak mampu lagi bertahan dan terpaksa menamatkan penyewaan di Plaza BB.


protes, uda
"Sehingga kini pihak UDA gagal memberi status lot-lot kosong atau ruang niaga yang bersesuaian dengan jenis perniagaan di lokasi yang dicadangkan." -Gambar Astro AWANI


Hassan turut mengulas kenyataan Johari yang mahu menempatkan penyewa sedia ada di Plaza BB di Pudu Sentral atau Kompleks Pertama.

Tegasnya, cadangan itu hanya timbul selepas perjumpaan dengan Johari pada 10 Oktober lepas.

"Cadangan itu datangnya daripada pihak kami dan bukannya atas inisiatif UDA.

"Sehingga kini pihak UDA gagal memberi status lot-lot kosong atau ruang niaga yang bersesuaian dengan jenis perniagaan di lokasi yang dicadangkan," katanya.

Hassan turut memberitahu, pembinaan bangunan baru kelak juga tidak pernah dibantah pihaknya.

Ujarnya, keutamaan perlu diberikan kepada penyewa-penyewa sekarang untuk menyewa bangunan baru tersebut dengan terma-terma membantu bumiputera.

"Apalah gunanya bangunan baru bergemerlapan bagaikan intan permata, tingginya menggapai awan sekadar sebagai kubur kepada peniaga-peniaga bumiputera," jelasnya.