SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan perlu mewujudkan kaedah penilaian prestasi kerja dan kecekapan penjawat awam bagi menentukan sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji atau tidak, terutama bagi kakitangan yang bermasalah.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata secara tidak langsung penilaian telus itu akan mencerminkan sumbangan penjawat awam, dengan pelaburan dan gaji diperuntukkan jabatan selari dengan komitmen yang disumbangkan.

"Ketika ini kerajaan negeri hanya mempunyai satu sistem penilaian prestasi penjawat awam sahaja, oleh itu demi kemampanan perkhidmatan awam di negeri ini, perlu ada satu kaedah penilaian lain lagi untuk menilai mereka.

"Prestasi perkhidmatan kakitangan kerajaan juga boleh diukur daripada hasil respons kepuasan rakyat. Setiap agensi dan jabatan semestinya meneliti setiap komentar yang diberikan oleh rakyat bagi menilai sejauh mana tahap perkhidmatan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2023 kepada 522 penjawat awam negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata pihaknya menyambut baik cadangan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dan kajian serta unjuran sedang dilaksanakan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia bagi merealisasikannya.

Anwar sebelum ini berkata penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Dis ini selain mengingatkan mereka yang bermasalah berkemungkinan besar tidak akan menerima kenaikan gaji secara automatik.

Sementara itu Aminuddin berkata setakat 15 Mei lepas, Negeri Sembilan berjaya mengutip hasil berjumlah RM177.96 juta atau 34.2 peratus iaitu lebih tinggi daripada kutipan hasil negeri pada tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA