KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu dipercayai telah mengemukakan invois palsu bernilai lebih RM800,000 kepada pejabat sebuah kementerian pada tahun 2019.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berumur dalam lingkungan 30-40 ditahan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Katanya, mereka dipercayai telah mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga November 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek berkenaan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah dalam tempoh terdekat.