Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) melihat kemudahan kanopi sebagai satu bentuk keselesaan pengunjung pusara di sekitar Kuala Lumpur selain satu keutamaan selepas menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri.

Kerana itu, pengerusi SHEB, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata kesedaran kepentingan kanopi merupakan platform sekretariat itu sendiri untuk menyediakan kemudahan itu kepada pengunjung pada hari raya ini.

"Setiap kali menjelang Syawal, kita akan menganjurkan aktiviti penyerahan kanopi tanah perkuburan Islam di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Tahun ini sebenarnya tahun keenam dan lebih 100 kanopi telah disumbangkan kepada 20 tanah perkuburan sekitar ibu negara untuk keselesaan masyarakat yang ke tanah perkuburan semasa pengebumian atau menziarahi kubur," katanya kepada Astro AWANI di sini, Rabu.


Penyediaan kanopi memberi keselesaan kepada pengunjung di tanah perkuburan terutama pada Hari Raya Aifilfitri - Sumber gambar SHEB

Di Kuala Lumpur, terdapat 24 kawasan tanah perkuburan di dalam enam zon.

Dalam pada itu kata Tengku Azman, langkah-langkah dan bantuan SHEB ini dapat membantu pengurusan pengebumian terutamanya apabila berlaku suasana hujan lebat atau panas terik.

"SHEB saban tahun berusaha untuk menyediakan kemudahan kanopi ke tanah-tanah perkuburan yang telah dipilih. Walaupun nampak agak pelik menyediakan kanopi di tanah perkuburan ini namun ia diharap dapat diikuti banyak pihak lain.

"Kami sedar betapa pentingnya penggunaan kanopi untuk melancarkan proses ziarah dan pengurusan pengebumian sepanjang tahun," ujarnya.

Ujarnya lagi, sumbangan mana-mana syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) juga diharap dapat membantu menyenangkan pengunjung di pusara sekitar ibu kota sendiri.

"Saya mengalu-alukan badan-badan NGO dan syarikat-syarikat swasta lain untuk menyalurkan bantuan kepada tanah perkuburan di negara ini demi kesejahteraan masyarakat," katanya.