Lebih separuh daripada pelajar terlibat adalah daripada golongan kurang berkemampuan, dipilih untuk menyertai kempen yang bermatlamat mendidik serta memperkasa anak-anak dengan pengetahuan penting mengenai kesihatan mata.
Tahun ini, sekolah yang mendapat manfaat adalah SK Seksyen 20, SK Seri Setia, SK Taman Bunga Raya 2, SK Taming Jaya, dan SK Taman Midah 2.
Dengan memberi tumpuan kepada komuniti tersebut, Rohto Eye Care berharap mereka dapat terus memberikan impak besar kepada pelajar dan selanjutnya keluarga mereka yang mungkin tidak punyai akses kepada pendidikan kesihatan mata, yang sebenarnya sangat penting.
“Ini adalah tahun ketiga berturut-turut kempen ‘Sending Love & Care: Joy of Seeing’ kami, bermula dengan hanya dua sekolah pada 2022, berkembang kepada tiga sekolah pada 2023, dan kini mencapai lima sekolah pada 2024.
“Perjalanan kami ini membuktikan kuasa komuniti dan kerjasama. Kami amat berterima kasih kepada rakan kongsi kami – Watsons, Focus Point dan Pintar Foundation – atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi,” kata Pengurus Besar Rohto-Mentholatum Malaysia, Lim Mei Yuen.
Kempen meliputi sesi pemeriksaan mata secara menyeluruh, tajaan cermin mata preskripsi percuma kepada pelajar yang memerlukan bantuan visual, juga ceramah pendidikan kesihatan mata oleh wakil daripada Rohto Eye Care yang disulami aktiviti-aktiviti interaktif menarik, mengajar pelajar tentang kepentingan kesihatan mata, langkah pencegahan dan amalan penjagaan mata yang sihat.
“Oleh kerana adanya program ini (sumbangan cermin mata preskripsi percuma), sekurang-kurangnya kita dapat kurangkan beban golongan yang kurang bernasib baik.
“Jadi pihak syarikat korporat juga boleh sama-sama bantu kerajaan dalam usaha murni ini, dan saya rasa amat bertuah SK Taman Midah 2 dipilih untuk menyertai kempen tahun ini,” ujar Guru Besar SK Taman Midah 2, Rosli Juhari.
Pembiayaan untuk kempen “Sending Love & Care: Joy of Seeing” dijana melalui inisiatif unik: di mana RM1 daripada jualan setiap produk Rohto Eye Care di Watsons pada Jun 2024 telah disumbangkan kepada kempen tersebut.
Usaha yang didorong oleh komuniti ini mengetengahkan kuasa kolektif sumbangan kecil untuk mencipta perubahan positif yang ketara.
Maklum Pengurus Jenama Kanan Rohto Eye Care Malaysia Evonne Lai, Rohto Eye Care memastikan keberlanjutan dan impak jangka panjang melalui usaha tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Kami berhasrat untuk mengunjungi lebih banyak sekolah dan membantu lebih ramai kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan mata.
“Dengan mata yang sihat mereka dapat mempertingkatkan pembelajaran dan meraih masa depan yang lebih cerah.”
Kajian menunjukkan bahawa rabun jauh semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak kecil, dek pendedahan awal dan peningkatan waktu penggunaan mereka kepada peranti digital.
Justeru, Rohto Eye Care komited untuk mencegah potensi masalah mata dan berusaha untuk memberi impak yang berkekalan kepada kehidupan kanak-kanak, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik, sambil memastikan mereka mendapat permulaan yang terbaik dalam hidup seterusnya masa depan yang lebih jelas dan cerah.