Tourism Malaysia menggondol satu lagi anugerah berprestij, kali ini bagi Kempen Pengiklanan Pelancongan Global Terbaik pada Anugerah Pemimpin Perniagaan Timur Tengah ke-4 di Abu Dhabi baru-baru ini.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyebut anugerah itu mengiktiraf visi agensi berkenaan yang berpandangan jauh, inovatif dan mengutamakan pencapaian dalam menggerakkan agenda promosi pelancongan Malaysia serta aktiviti pengiklanannya di seluruh dunia.

Anugerah itu diterima Pengarah Bahagian Pengiklanan Tourism Malaysia Datuk Abdul Khani Daud.

Anugerah Pemimpin Perniagaan Timur Tengah dianjur bagi memupuk semangat muhibbah, persahabatan serta menggalak rangkaian lebih baik antara Asean dan Negara Kerjasama Teluk (GCC).

Acara anjuran Persekutuan Dewan Perniagaan GCC dan The Leaders International itu turut memberi penghormatan selain mengiktiraf pemimpin perniagaan terbaik di rantau GCC serta penerima antarabangsa terpilih.

Selain Emiriah Arab Bersatu, GCC dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Kenyataan itu turut menyebut tinjauan sebuah syarikat perunding Islam yang berpangkalan di Singapura iaitu Crescentrating, meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama bagi percutian mesra umat Islam di depan Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Indonesia.

"Ini adalah petunjuk yang baik bagi perkembangan pesat industri pelancongan Malaysia, yang menyaksikan pertumbuhan stabil dari segi ketibaan pelancong dan penjanaan pendapatan sejak sedekad lepas," katanya.

Ketibaan pelancong dari Asia Barat meningkat 3.2 peratus mencecah sejumlah 370,535 orang pada 2012 berbanding 358,994 tahun sebelumnya.