Ringkasan AI
- Tiga Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani untuk menggalakkan kolaborasi dalam penyelidikan, pembangunan, dan agenda berteraskan kepada prinsip saling terima, hidup bersama, dan persaudaraan manusia.
- Pope Francis dijadualkan bertemu Presiden Indonesia dan wakil enam agama yang diperakui di Indonesia di Masjid Istiqlal.
Lawatan ini menyaksikan tiga Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani untuk menggalakkan kolaborasi dalam penyelidikan, pembangunan, dan agenda berteraskan kepada tiga prinsip iaitu saling terima, hidup bersama, dan persaudaraan manusia.
MoU pertama telah ditandatangani pada Isnin antara Jawatankuasa Tertinggi Persaudaraan Manusia (HCHF - Higher Committee of Human Fraternity) dengan Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (IIIU).
Selain itu, HCHF dijadualkan untuk menandatangani dua lagi MoU iaitu pada 4 September melibatkan gerakan Islam, Muhammadiyah, yang merupakan sebuah organisasi Islam di Indonesia.
Seterusnya, pada 5 September, HCHF akan menandatangani MoU dengan Nahdatul Ulama, yang merupakan organisasi Islam terbesar di dunia.
Untuk konteks, HCHF ditubuhkan susulan kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Pope Francis dan Imam Besar al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb pada Februari 2019 di Abu Dhabi yang dikenali sebagai Dokumen Persaudaraan Manusia untuk Keamanan Dunia dan Hidup Bersama (Document on Human Fraternity for World Peace and Living Together).
Dokumen tersebut antara lain memberi penekanan kepada usaha memupuk budaya saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, yang sedang berdepan dengan realiti peningkatan ekstremisme.
CNA melaporkan Pope Francis dijadualkan bertemu Presiden Indonesia pada Rabu sebelum bertemu bersama wakil enam agama yang diperakui Indonesia di Masjid Istiqlal iaitu Islam, Katolik, Protestan, Buddha, Hindu dan Konfusianisme.
Beliau akan meneruskan lawatan 12 harinya ke Papua New Guinea, Timor Leste dan Singapura selepas Indonesia.