KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memperkenalkan Pelan Tindakan 2022 (PT22) sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam tempoh setahun kementerian itu.

Menurut Menteri Kanannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, PT22 itu merangkumi perancangan rapi jangka masa pendek dan panjang melibatkan aset dan kebajikan anggota.

"Kini dalam melangkah ke hadapan, Kabinet telah menetapkan KPI untuk tempoh enam bulan seterusnya. Namun sebenarnya kita di Mindef telah memikirkan lebih dari itu.

"Kita telah menetapkan KPI untuk tempoh setahun yang mendatang. Bagi saya, pencapaian 100 hari akan kekal dalam lipatan sejarah kejayaan Mindef.

"Namun apa perancangan kita yang seterusnya? Inilah yang lebih penting. Untuk tahun 2022, kita telah pun mempunyai perancangan yang rapi di bawah Pelan Tindakan 2022 atau PT22," jelasnya ketika menyampaikan Amanat Menteri Kanan Pertahanan di Kem Sungai Besi di sini pada Isnin.

Jelasnya, PT22 itu adalah hasil buah fikiran dan cadangan daripada pelbagai peringkat termasuk warga Mindef sendiri.

"Amat penting untuk setiap dasar ini dipakejkan bersama dan inilah sebabnya kita telah mengadakan pertemuan beberapa kali sebelum ini.

"Iaitu untuk bersama-sama mempunyai perancangan, hala tuju dan matlamat yang selari seterusnya menentukan lapan Teras di bawah PT22," jelasnya lagi.

Lapan teras itu antaranya kebajikan, kesiagaan dan keupayaan, kerjasama pertahanan antarabangsa, pemerkasaan Veteran ATM, kompetensi pertahanan, kerjasama Awam-Tentera, Industri Pertahanan Nasional dan kesiagaan terhadap krisis berskala besar.

Perumahan

Dalam majlis itu, Hishammuddin turut mengumumkan Blueprint Perumahan 3.0 Mindef akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Ujarnya, sebanyak tujuh projek pembinaan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) akan dibina bagi memastikan setiap warga Mindef mendapat kediaman yang selesa.

"Di bawah Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,000 unit RKMAT baru bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

"Bagi tahun 2022 sahaja, dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap pada tahun 2022 meliputi enam negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak (melibatkan 2 kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera)," katanya.

Manakala bagi program Satu Anggota Satu Rumah (SASar) pula jelas Hishammuddin, lebih banyak rumah akan dibina di tiga lokasi telah dikenal pasti iaitu Kem Transmitter Sungai Besi, Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Genting Klang.

Malah, projek SASaR di Kem Transmitter Sungai Besi ujarnya telah bermula pada 1 Jun 2021 dan dijangka siap pada tahun 2025.

Dari sudut kerja membaik pulih rumah veteran ATM pula, Menteri Kanan Pertahanan itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta bagi tahun ini.

Ia dijangka memanfaatkan 100 buah rumah veteran ATM menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM yang dahulunya dikenali sebagai 1Malaysia Veteran Home Repair Programme (1MVHRP).

"Dalam masa yang sama, pada tahun ini juga, sebanyak 275 Projek Jiwa Murni dijangka dilaksanakan di Semenanjung Malaysia yang turut akan memanfaatkan lebih ramai veteran ATM," jelasnya lagi.