PASIR SALAK:Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang mengenal pasti dan menilai jumlah kerosakan tanaman pertanian dan penternakan, susulan bencana banjir di beberapa negeri ketika ini.

Bagaimanapun, Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keseluruhan penilaian terhadap semua jenis tanaman dan ternakan itu hanya boleh dibuat sekurang-kurangnya 45 hari selepas banjir surut.

"Kita sedang memantau dan menerima laporan daripada kawasan-kawasan sawah, termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di bawah kementerian, untuk menilai kerosakan dan sebagainya, disebabkan bencana alam.

"Kita tahu banjir berlaku di Perak, Johor dan Pahang. Tentu sekali selepas banjir itu surut baru kita boleh buat penilaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Agihan Benih Padi Sah (BPS) dan Ziarah Peladang Negeri Perak di Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Kiandee mengambil contoh di IADA Kota Belud, pihaknya telah menghulurkan bantuan akhir tahun lalu susulan kerosakan yang dialami pada tahun sebelumnya.

"Untuk keseluruhan industri pertanian, setiap tahun kita ada dana lebih kurang RM80 juta untuk bencana alam, termasuk penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya. 

Ujarnya lagi, pihaknya memahami keresahan dan kesulitan yang dihadapi para petani dan penternak yang terkesan akibat banjir ketika ini.

Kiandee (tiga, kiri) hadir pada Program Agihan Benih Padi Sah di Chenderong Balai, Pasir Salak, hari ini. - Astro AWANI

Terdahulu, Kiandee melancarkan TrekBPS, iaitu sistem treking BPS bagi memantau aktiviti pesawah dalam pengedaran benih padi.

Beliau berkata, sistem tersebut diperkenalkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan, menggunakan kod Quick Response.

Ia antara lain bertujuan mengatasi masalah pesawah, terutama melibatkan harga dan kualiti benih padi.

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan pesawah dilindungi dan mendapat benih padi yang sah.

"Harga satu beg benih tidak melebihi RM35. Dengan sistem ini, harga beg ini tidak boleh ditukar," katanya.

Menurutnya, ia merupakan pendekatan baru yang diambil kementerian bagi musim penanaman padi kali ini.

"Kita harap masalah ketiadaan benih, harga benih dan kualiti dapat diatasi,” tambahnya.