PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri Malaysia menerusi Konsulat Jeneral di Hong Kong dan Guangzhou, China, memantau dengan teliti perkembangan Ribut Tropika Yagi, yang dijangka mendarat di bahagian selatan China, termasuk Hainan dan Guangdong.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, kementerian itu berkata setakat 3 petang waktu tempatan pada 5 September, Taufan Super Yagi itu terletak kira-kira 350km selatan-tenggara Hong Kong.

"Ia diramal bergerak ke arah barat-barat laut merentasi bahagian utara Laut China Selatan.

"Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat taufan itu," menurut kenyataan berkenaan.

Kementerian menggesa rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan pihak berkuasa tempatan.

Menurut kementerian mereka yang belum mendaftar dan mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka, digalakkan berbuat demikian dengan segera di https://ekonsular.kln.gov.my.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong atau Guangzhou.

Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong terletak di Tingkat 24, Bangunan Malaysia, 47-50 Gloucester Road, Wanchai, Hong Kong, China dan boleh dihubungi pada waktu pejabat melalui telefon di (852) 2821 0800, atau di luar waktu pejabat di (852) 2865 1628. Sebagai alternatif, mereka juga boleh dihubungi melalui e-mel di mwhongkong@kln.gov.my.

Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, yang terletak di Unit 1912 - 1918, Citic Plaza Office Tower 233 Tian He Bei Road, Guangzhou, China boleh dihubungi pada waktu pejabat melalui telefon di +862 0 3877 0763 / 0766 dan juga boleh dihubungi melalui e-mel di mwguangzhou@kln.gov.my.

Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) bersiap siaga untuk menghadapi Taufan Yagi, ketika Balai Cerap Hong Kong mengumumkan pada Khamis bahawa ia akan mengeluarkan Isyarat Gale atau Ribut No. 8 sekitar 6:20 petang waktu tempatan, lapor Xinhua.

Menurut laporan itu, Balai Cerap Hong Kong dalam kenyataan akhbar berkata angin tempatan akan semakin kuat di bawah pengaruh Taufan Yagi yang merupakan ribut matang. Berdasarkan ramalan semasa, Yagi akan mengekalkan intensiti taufan super dan melepasi kira-kira 300km barat daya Hong Kong pada pagi Jumaat.

-- BERNAMA