PUTRAJAYA: Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital Kementerian Kesihatan (KKM) pada awal bulan ini meningkat namun tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital meningkat 17.6 peratus pada awal April berbanding Mac lepas dengan majoriti pesakit adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbid.

"Walau bagaimanapun kebanyakan kes bergejala ringan, stabil dan situasi COVID-19 kekal tidak membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung situasi terkini COVID-19 di Malaysia.

Dr Zaliha berkata setakat awal tahun hingga Selasa lepas (11 April), kematian COVID-19 dilaporkan hanya dengan kadar kematian (CFR) 0.3 peratus berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu sebanyak 2.1 peratus.

Sebanyak 63.8 peratus melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas manakala 90.7 peratus adalah dalam kalangan individu dengan komorbid.

"Kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat satu dos penggalak," katanya.

Beliau berkata berdasarkan data sehingga Selasa lepas juga, hanya 50 peratus atau 16,325,561 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (818,420) sahaja telah menerima dos penggalak kedua.

"Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

"Justeru, orang ramai terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi disarankan untuk mendapatkan dos penggalak disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada dos terakhir," katanya.

"KKM terus memantau situasi COVID-19 serta varian terdapat di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optima bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus COVID-19," katanya.

-- BERNAMA