Kira-kira 170 penduduk di rumah Pangsa Anggerik, Bukit Permai 2, Ampang terjejas apabila bekalan air di kawasan mereka terputus sejak Rabu.

Akibatnya, mereka terpaksa bergantung kepada tangki air Syabas untuk bekalan air dan berharap sistem pam diperbaiki segera agar kehidupan seharian mereka dapat kembali seperti sedia kala.

Bekalan air yang terputus secara tiba-tiba menyebabkan aktiviti seharian seperti memasak dan membasuh terjejas.

Ada juga yang kesal kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai gangguan bekalan air berkenaan.

Ketika ini, harapan penduduk hanya kepada bekalan air daripada tangki Syabas namun tidak pasti berapa lama bekalan air itu dapat bertahan.

Taman Bukit Permai merupakan antara kawasan perumahan yang terjejas susulan kegagalan sistem pam di rumah pam Wangsa MaJu dan Pudu Hulu beberapa hari lalu.