KUALA LUMPUR: Seorang warga emas menjadi mangsa pertama kes kelesuan haba akibat cuaca panas yang dilaporkan di Sabah setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata ia menjadikan masalah kesihatan akibat cuaca panas yang direkodkan di Sabah meningkat kepada empat kes sejak 15 April lalu.

Katanya, tiga kes yang dilaporkan sebelum ini dikaitkan dengan strok haba, sudah sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

Lelaki warga emas berumur 61 tahun itu bekerja sebagai juruelektrik, dimasukkan ke wad pada 17 Mei dan dibenarkan keluar pada 18 Mei lalu selepas mendapatkan rawatan untuk kelesuan haba.

Jelasnya kes ini dirawat di sebuah hospital swasta.

Gejala kelesuan haba adalah sakit kepala, pening, rasa mual, muntah, kelesuan, kekejangan otot dan suhu badan meningkat.


Berikutan peningkatan masalah kesihatan berkaitan cuaca panas itu, Dr Rose Nani menasihatkan orang ramai di Sabah supaya terus mengamalkan langkah untuk mengelakkan dehidrasi.

Antara langkah itu, katanya termasuk meminum banyak air kosong, memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah, berehat di tempat yang sejuk dan mempunyai pengudaraan yang baik serta mengelakkan pakaian yang memerangkap haba.

Tambahnya, segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal penyakit berkaitan cuaca panas.