Kerajaan negeri Kelantan bercadang membawa rang undang-undang persendirian berhubung Kanun Jenayah Syariah 2 1993 yang akan membolehkan ia melaksanakan hukum hudud dan qisas ke Parlimen secepat mungkin.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata rang undang-undang persendirian itu dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada Jun ini.

"Kita rancang untuk tahun ini juga. Dari segi draf, secara kasar sudah ada. Kita usul tengok, kalau kita sempat bulan (Jun), bulan (Jun); kalau sempat bulan (Disember), bulan (Disember) lah… belum diputuskan lagi," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat penuh pertama Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan.

Mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan minggu lalu meluluskan ketetapan menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi bagi membuka jalan ke arah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud dan qisas di negeri itu selewat-lewatnya pada tahun depan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob berkata keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri itu adalah sebagai menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam.

Jamil Khir semasa menggulung usul titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada sebelumnya berkata kerajaan pusat sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam dengan membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen.

Sementara itu, Mohd. Amar tidak menamakan ahli Parlimen PAS yang akan membentangkan rang undang-undang itu dan katanya, perkara tersebut belum diputuskan di peringkat mesyuarat exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, cadangan PAS ini mendapat bantahan daripada DAP, satu daripada dua sekutunya dalam Pakatan Rakyat.