KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kejohanan sukan dengan kehadiran penonton di stadium atau venue  bermula 1 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai percubaan dua kejohanan bola sepak Liga Malaysia akan dibenarkan untuk melihat keberkesanan protokol pengurusan penonton serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kapasiti penonton yang dibenarkan adalah 10 peratus atau 2,000 individu atau mana-mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

Sementara di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula katanya, kapasiti penonton dibenarkan sehingga 25 peratus atau 8,000 atau mana-mana yang lebih rendah dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) akan turut memantau dan membuat penilaian pemantauan protokol yang ditetapkan khususnya dalam pergerakan kemasukan dan bersurai nanti.

"Apa yang membimbangkan adalah sewaktu keluar dan masuk. Masuk perlu beratur dan ada penjarakan fizikal. Di dalam (stadium) mungkin tidak sukar untuk dikawal. Lebih membimbangkan adalah ketika keluar, apabila perlawanan tamat, keluar secara serentak," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, ekoran itu, pihak stadium perlu memastikan tidak berlaku kesesakan ketika keluar.

Namun begitu katanya, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton itu adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS.


Berikut adalah SOP yang ditetapkan:

Kehadiran penonton ke stadium dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP