Kedutaan Amerika di Malaysia hari ini mengibarkan bendera separuh tiang sebagai memperingati Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang terkorban di dalam nahas helikopter di Semenyih semalam.

Menurut satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Twitter, kedutaan Amerika mengiktiraf peranan Allahyarham sebagai rakan dalam pengukuhan hubungan Amerika - Malaysia.

Duta Besar Amerika ke Malaysia, Joseph Y. Yun berkata, Allahyarham sentiasa berdedikasi dalam mengembangkan perhubungan dua hala bersama Amerika Syarikat.


Beliau menyatakan persahabatan yang erat di antara kedua-dua negara turut disumbangkan hasil kreativiti, tenaga dan visi Allahyarham.

Laman itu juga menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan Presiden Barack Obama dan Jamaluddin, dengan kapsyen, 'Presiden Barack Obama bersama Tan Sri Jamaluddin Jarjis, bekas duta Malaysia ke Amerika'.


Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat handai mereka yang terkorban dalam nahas itu.

"Doa dan harapan kami sentiasa mengiringi mereka pada detik-detik yang memilukan ini," katanya.

Helikopter AS365N2 Dauphin itu, yang dinaiki enam orang, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih dekat sini pada 4.55 petang semalam.

Nama yang terkandung dalam senarai daftar penerbangan pesawat itu ialah Kapten Clifford William Fournier; Pembantu Operasi Aidana Baizieva; Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran; Datuk Seri Azlin Alias dan Datuk Tan Huat Seang.

Mayat kesemua mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian pada kira-kira 11.30 malam tadi sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan proses pengecaman.