ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah membuat persediaan lebih awal melalui pelan kontingensi untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan air ketika sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata isu bekalan air terutamanya semasa musim perayaan sering berulang, namun dengan pelan kontingensi itu beliau optimis permasalahan itu dapat dihadapi sebaik mungkin.

"Kita tiap-tiap tahun hadapi tekanan yang sama, kita ada pelan kontingensi untuk hadapi situasi itu, insya-Allah, tahun ini kita bersedia lebih awal," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Air Sedunia 2023 peringkat negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyeru rakyat di negeri ini berjimat cermat dalam penggunaan air sebagai satu daripada usaha menghadapi musim panas kini di Kedah, yang sekiranya keadaan itu berlanjutan antara dua hingga tiga bulan lagi kemungkinan akan menyebabkan masalah bekalan air.

"Semalam SADA (Syarikat Air Darul Aman) mengatakan bahawa kita sedang menghadapi Fenomena La Nina lemah (mengakibatkan cuaca kering dan taburan hujan berkurangan). Apabila (berlakunya) musim kemarau ini, pam kita di muka sauk ada yang tergantung kerana paras air sungai turun, kita kena buat penyelarasan.

"Kawasan yang telah sedia maklum menghadapi isu air ini saban tahun bila datangnya musim kemarau, harap dapat bersabar, jimatkan air. Insya-Allah, usaha oleh pihak kerajaan (negeri) sedang dilakukan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa ini masalah bekalan air itu tidak kritikal kerana takungan air di beberapa empangan di Kedah masih berada pada paras mencukupi termasuk di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Untuk rekod, setakat hari ini, kedudukan air di Empangan Pedu adalah sebanyak 83.72 peratus, Empangan Muda (73.07 peratus) dan Empangan Ahning (98.11 peratus).

Muhammad Sanusi berkata Lembaga Sumber Air Negeri Kedah juga telah mengambil langkah mengaktifkan semula beberapa telaga boring (tiub) yang telah dibuat sebelum ini bagi proses pengepaman.

Beliau juga telah meminta pihak SADA untuk memperbanyak penghantaran air menggunakan lori sekiranya sistem paip tidak lagi dapat membekalkan air yang mencukupi ke rumah kediaman.

-- BERNAMA