Timbalan Presiden, Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia, Ts Datuk Sri Ganes Palaniapan berkata, di peringkat global pula, pelaburan dalam AI dijangka melonjak daripada AS$207.9 bilion (RM902 bilion) pada 2023 kepada AS$1.8 trilion (RM7.81 trilion) pada tempoh itu.
Menurutnya, ketika Amerika Syarikat (AS) dan China mendahului persaingan dalam ekosistem AI, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam revolusi ini.
Selain menjadi destinasi utama pusat data dan ekosistem AI, Pejabat AI Kebangsaan, yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, katanya, adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju AI di rantau Asia Tenggara.
"Namun realitinya, apa yang didepani Malaysia adalah, kita masih lagi tertumpu untuk menjadi pengguna AI dan bukannya membangunkan bakat peneraju penyelesaian AI.
"Malaysia tidak boleh berada pada garisan ini untuk tempoh lama kerana ia akan meletakkan negara berisiko ketinggalan dalam pelumbaan AI di peringkat global.
"Sebaliknya, Malaysia perlu mewujudkan bakat yang mampu memacu penyelesaian AI yang berimpak tinggi dan bukannya sekadar mengikut trend semasa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Justeru, dalam mengorak langkah ke hadapan, Sri Ganes berkata, kerajaan perlu bersedia untuk melabur bagi mewujudkan bakat yang mampan, selari dengan keperluan semasa dan masa akan datang.
"Ia penting untuk membezakan antara pengguna dan pembangun penyelesaian AI. Antara sektor yang memerlukan penyelesaian, sama ada di peringkat tempatan atau global, adalah isu kemampanan alam sekitar, penjagaan kesihatan, dan industri automasi," ujarnya.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, baru-baru ini mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan pembukaan Pejabat AI Kebangsaan di bawah seliaan MyDigital Corporation, yang akan beroperasi bermula November ini.