SHAH ALAM: Keadaan banjir di seluruh negara ketika ini khususnya di Kelantan dan Terengganu amat membimbangkan kerana ia lebih teruk berbanding tahun 2014, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu lebih teruk berbanding tahun 2014, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
  • Fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan Selat Melaka dijangka memburukkan lagi keadaan banjir, tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangka pengurangan luruan hujan.
  • Lebih 82,000 pegawai dan anggota keselamatan telah dimobilisasikan untuk membantu mangsa banjir, dan PPS di seluruh negara mampu menampung kira-kira 2.1 juta mangsa banjir.


Beliau berkata lebih merisaukan adalah keadaan dijangka semakin buruk dengan fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan di Selat Melaka, yang berada di puncaknya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata terbaharu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangka berlaku pengurangan luruan hujan nanti.

"Kita yakin dengan pengurangan luruan hujan itu, ia akan mengurangkan pemindahan (mangsa banjir) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Pengerusi BN Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Susulan itu juga, Ahmad Zahid berharap agar penduduk di negeri yang terkesan dengan banjir dapat mengikut arahan jawatankuasa bencana negeri, dan ketika ini lebih 82,000 pegawai dan anggota keselamatan telah dimobilisasikan bagi membantu mangsa di kawasan terlibat.

Beliau berkata ketika ini PPS yang ada di seluruh negara mampu menampung kira-kira 2.1 juta mangsa banjir.

"Namun kita merasakan kesiapsiagaan sahaja tidak mencukupi, penduduk di kawasan yang dijangkakan banjir terutama di kawasan rendah hendaklah mengikut nasihat diberikan jawatankuasa bencana negeri untuk berpindah awal.

"Kita tidak mahu jumlah kematian bertambah, maka kesiapsiagaan dan amaran awal mesti diikuti sepenuhnya agar dapat mengelakkan kehilangan nyawa," katanya yang turut meminta agar badan sukarelawan dan individu supaya bersedia untuk menyalurkan bantuan pasca bencana bagi meringankan beban mangsa pasca banjir.

Ahmad Zahid seterusnya meminta semua pihak agar mengetepikan perbezaan warna dan fahaman politik demi membantu mangsa banjir yang terkesan.

Keadaan banjir di Semenanjung dilaporkan semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini, berbanding 146,611 malam tadi.

Pahang menjadi menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu yang menyaksikan 15 PPS dibuka di daerah Raub menempatkan seramai 452 mangsa daripada 146 keluarga, pagi tadi.

-- BERNAMA