NILAI potensi sumber mineral negara yang dianggarkan RM4.1 trilion sebagaimana dilaporkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada 28 Mei 2020 yang lalu merupakan anugerah yang tidak terhingga kepada negara.

Walaupun industri perlombongan dan pengkuarian (tidak termasuk sektor minyak dan gas) hanya menyumbang kurang daripada 1 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun kewujudan lebih 150 lombong dan 400 kuari seluruh negara sangat signifikan sumbangan terhadap bekalan bahan mentah negara.

Pada ketika ini, kebanyakan industri mineral Malaysia hanya memfokuskan aktiviti pengekstrakan dan menjualnya secara mentah sahaja. Ini adalah suatu kerugian jangka panjang yang sangat besar kepada hasil kerajaan negeri dan Malaysia.

Sekiranya proses nilai tambah dilakukan ke atas mineral mentah ini, nilainya boleh dipertingkatkan sehingga beribu-ribu kali ganda dalam pasaran.

Maka perkara ini perlu diperhalusi dan menjadi perhatian utama kementerian berkaitan di dalam memperhalusi serta menambah nilai industri mineral negara.

Sebagai contoh, isu pencemaran bijih bauksit di Pahang boleh diatasi jika pengusaha tidak mengambil langkah mudah dengan menjual terus kepada pasaran pada harga yang rendah bagi mencapai keuntungan cepat.

Namun dengan meningkatkan peratusan konsentrat bijih tersebut mengikut SOP dan pemprosesan yang sepatutnya di kawasan lombong, nilai pasaran mineral ini akan meningkat beratus kali ganda berbanding penjualan mentah secara pukal. Kaedah ini juga dapat meminimumkan masalah pencemaran ketika ia dikeluarkan daripada kawasan lombong.


Sebuah jengkaut milik sebuah syarikat perumahan digunakan untuk melakukan kerja menimbus kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, Pahang. - Foto BERNAMA


Dasar dan Polisi

Pembangunan industri mineral negara memerlukan suatu anjakan agar kita tidak hanya menumpukan kepada proses pengektrakan bahan mentah semata-mata. Dasar dan polisi komprehensif berkaitan mineral negara perlu diperkemas dan disesuaikan dengan potensi ekonomi dan kelestarian alam sekitar semasa.

Integrasi pemegang taruh dan pakar-pakar berkaitan seperti agensi-agensi pusat dan negeri, industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan, pertubuhan akademi seperti Majlis Profesor Negara (MPN) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) perlu diperhebat serta dikongsi dengan umum.

Hal ini membolehkan orang awam dan pertubuhan profesional berkaitan memahami aspirasi, halatuju serta berpeluang menyuarakan pandangan berkaitan industri mineral negara secara lebih berkesan. Kaedah ini, membolehkan sesuatu isu berkaitan diselesaikan dengan mengambilkira potensi ekonomi dan kelestarian alam secara bersama.

Proses nilai tambah perlu dijadikan agenda utama industri mineral negara dan hal ini perlu membabitkan semua peringkat aktiviti berasaskan mineral termasuk huluan dan hiliran. Dasar Mineral Negara Kedua (DMN2) dan penubuhan Majlis Mineral Negara adalah salah satu usaha ke arah tersebut.

Selain itu, penstrukturan semula organisasi melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Lembaga Pembangunan Timah kepada Lembaga Pembangunan Industri Mineral mampu memperkasa industri mineral di Malaysia.

Penyelidikan Akademi Sains Malaysia (ASM) perlu diperhebat supaya hala tuju mineral negara difahami umum.


Sebagai contoh, DMN2 yang dilancarkan pada 2009 menekankan dan menggalakkan industri perlombongan agar mengamalkan kaedah perlombongan terbaik dan mampan, mempromosikan perolehan, kitar semula dan guna semula mineral, logam dan produk berasaskan mineral, dan pengurusan sumber mineral yang berkesan menerusi pengezonan kawasan berpotensi mineral untuk kegunaan masa depan serta mengelakkan daripada berlakunya konflik guna tanah.

Kesemua dasar dan polisi yang dirancang dan dilaksana perlu disokong dengan aspek pemantauan, perundangan dan tadbir urus berkesan daripada agensi penguatkuasaan berkaitan. Selain itu kolaborasi semua negeri-negeri dengan agensi persekutuan adalah sangat mustahak dalam mewujudkan ekosistem lengkap.

Hal ini berdasarkan fakta bahawa hal ehwal urus berkenaan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri manakala aspek teknikal berkaitan mineral dikawal selia jabatan persekutuan. 


Perundangan dan Penguatkuasaan

Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Kualti Alam Sekeliling 1974, Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994, Enakmen dan Ordinan mineral negeri-negeri, peraturan-peraturan mineral negeri perlu dikoordinasi secara bersama. Hal ini penting bagi mengelakkan isu pertindihan kuasa dan tanggungjawab antara agensi pusat dan negeri kedua-dua agensi persekutuan dan negeri-negeri terbabit.

Pada masa ini, setiap negeri mempunyai enakmen atau ordinan berkaitan tanah dan galian masing-masing. Selain itu, mana-mana perundangan yang tidak relevan atau lapuk perlu ditambahbaik agar bersesuaian dengan konteks semasa.

Perlombongan secara artisanal atau skala kecil-kecilan perlu menjadi pilihan terakhir. Operasi lombong skala kecil seringkali boleh mendatangkan kesukaran kepada pihak agensi terlibat untuk memantau dan mengawalselia aktiviti perlombongan secara kecil-kecilan dan merata-rata.

Beban pembuktian akan menjadi sukar berdasarkan punca pencemaran pada skala jarak yang berkaitan antara satu sama lain. Berdasarkan pengalaman, operator-operator haram (dan kadangkala skala kecil) sering terdedah kepada cubaan manipulasi bagi tujuan memaksimumkan keuntungan serta mempunyai tahap pematuhan undang-undang dan operasi lombong mampan yang rendah.

Bagi tujuan ini, konsortium perlombongan boleh dijadikan sebagai tanda aras baharu industri mineral di Malaysia. Keutamaan pelantikan kepada konsortium atau syarikat perlombongan bereputasi tinggi, mempunyai dana pengoperasian mampan serta terbukti rekod budaya kerja dan pematuhan operasi secara lestari perlu dijadikan asas pemilihan.

Skala operasi perlombongan secara pecah kecil kepada banyak pihak perlu diminimumkan. Melalui kaedah ini, aspek pemantauan agensi penguatkuasaan serta pematuhan syarat-syarat operasi perlombongan terhadap konsortium dilantik adalah lebih terjamin dan terkawal.


Sumber Manusia dan Potensi Ekonomi Masa Hadapan

Sumber manusia yang kompeten amat bernilai dalam menyokong ekosistem nilai tambah industri mineral negara. Kepakaran jurutera dan saintis tempatan perlu dibangunkan secara menyeluruh. Apabila proses ini berkembang mampan, aktiviti-aktiviti hiliran lain melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pelaburan dan operasi perlombongan kemudiannya boleh dikembang dan dilaksana di negara luar.

Adalah menjadi harapan pada masa hadapan, agar syarikat-syarikat berasaskan perlombongan di Malaysia lebih berdaya saing dan mampu mengembangkan operasi, perolehan dan aktiviti perindustrian mineral di negara-negara lain di dunia.

Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan telah dibuktikan dengan kejayaan Petronas mengembangkan model perniagaan ke seluruh pelusuk dunia. Contoh lain syarikat-syarikat gergasi berasaskan perlombongan berskala besar yang mempunyai operasi luar negara adalah seperti Rio Tinto dan BHP Billiton (Australia).

Konsortium perlombongan boleh dijadikan sebagai tanda aras baharu industri mineral di Malaysia. - Gambar hiasan

Memperkasa Aktiviti Berasaskan R&D

Institusi penyelidikan dan pengajian tinggi sedia ada yang menawarkan program pengajian berasaskan mineral perlu diperkasa peranan dan fungsinya di dalam mengeluarkan kepakaran tempatan yang diperlukan. Industri mineral berpacukan nilai tambah harus dijadikan sebagai salah satu niche atau tujahan yang penting di dalam perancangan sumber kekayaan baharu negara sebagaimana bidang-bidang lain seperti nanoteknologi dan elektronik.

Hal ini kerana aktiviti mineral merupakan peringkat asas yang menampung keperluan bahan mentah bidang-bidang berbentuk teknologi masa kini dan masa hadapan. Atas dasar kekangan bahan mentah inilah, negara-negara berasaskan industri teknologi giat mengganda usaha memastikan jaminan bekalan bahan mentah di negara-negara luar. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan perlu dilaksana secara berterusan manakala pihak kerajaan disaran agar menyediakan geran-geran khas untuk tujuan tersebut.

Ekopelancongan sebagai Model Ekonomi Baharu Industri Mineral Malaysia

Selain itu, ekonomi berasaskan industri mineral negara juga boleh juga dikembangkan melalui konsep ekopelancongan. Sejak sekian lama aktiviti seperti pengkuarian dan perlombongan sering dianggap negatif walaupun realitinya ia adalah industri asas yang menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah negara.

Dalam hal ini, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama sebuah kuari di utara tanah air telah memulakan langkah awal mempromosikan konsep Green-Quarry EduTourism. Melalui program ini, orang awam dan komuniti boleh mengetahui dan mempelajari lebih lanjut berkenaan operasi pengkuarian lestari disamping merasai sendiri aktiviti-aktiviti hijau yang lain seperti taman agro, ternakan ikan, madu kelulut, pasar malam, “inap-kuari” dan lain-lain lagi.

Selain menjana dan memaksimumkan kadar gunatanah kuari dengan aktiviti hijau dan lestari, konsep ekopelancongan juga mampu memberi nilai tambah pendapatan kepada pengusaha kuari. Program ini juga mampu mendidik masyarakat tentang kepentingan industri kuari kepada pembangunan dan mengikis perspektif negatif industri ini pada mata umum.


Rehabilitasi, Tebus guna dan Nilai Tambah

Konsep rehabilitasi dan tebusguna kawasan-kawasan bekas lombong dan kuari perlu dilihat sebagai salah satu lagi sumber kekayaan baharu negara. Kewujudan bandar-bandar serta pusat rekreasi daripada bekas tapak lombong seperti MINES City, Sunway Lagoon, Bukit Merah Laketown Resort, Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Tasik Taiping kini menjadi tinggi nilai ekonominya.

Di luar negara, sebagai contoh, InterContinental Shanghai Wonderland, China atau “Quarry-Hotel” merupakan hotel bertaraf lima bintang bawah permukaan tanah pertama di dunia dibangunkan di tapak bekas kuari. 

Melalui konsep pembangunan bersepadu seperti ini, bukan sahaja nilai komersial sesuatu bekas kawasan lombong/kuari berjaya ditingkatkan, malahan berupaya menjadi projek ikon baharu Malaysia.

Bekas tapak lombong dan kuari boleh juga dibangunkan sebagai hab sukan ekstrem dan sukan air seperti wall-climbing, hiking, terjun bungee, kayak dan sebagainya. Dari aspek ekonomi sosial setempat, bekas-bekas kolam lombong juga boleh dimajukan sebagai hab ternakan air tawar secara integrasi.

Bagi bekas kawasan kuari bawah aras bumi berskala sederhana besar, potensi sebagai kawasan takungan air mentah tidak terawat boleh dijadikan alternatif pada masa akan datang. Bagi tujuan tersebut, kajian dan cadangan kesesuaian serta keupayaan jangka panjang boleh dilaksana.


Alam dan Manusia

Alam dan manusia tidak dapat dipisahkan kewujudan dan saling kaitan antara satu sama lain. Mineral hadir daripada aktiviti perlombongan dan pengkuarian. Al-Quran secara jelas memperikan kepentingan mineral dan manusia di dalam surah al-Hadid atau 'Surah Besi' yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Al Hadid: 25)

Maka, benarlah tanpa industri sumber mineral, ketamadunan dan kehidupan harian manusia seperti yang ada pada hari ini mungkin akan terkesan secara menyeluruh. Oleh yang demikian, sama-samalah kita menghargai nikmat kemakmuran hari ini dan beramanah untuk generasi akan datang.



* Ikuti siri ketiga artikel ini pada 11 Januari 2020.

** Prof Madya Dr Mohd Hazizan Mohd Hashim ialah pensyarah kanan dalam bidang peletupan komersial, pengkuarian, perlombongan dan alam sekitar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia.

*** Penulisan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi atau pengetahuan bidang kerjaya penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.