KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedang menyiapkan satu prosedur operasi (SOP) berhubung penerokaan dan pengambilan mineral dan galian dalam bumi.

Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, SOP berkenaan antaranya menyentuh pengendalian galian termasuk Logam Nadir Bumi atau Rare Earth Element (REE), silika, magnesium dan sebagainya yang akan diguna pakai di seluruh negara.

“Kita sedang membuat satu kajian SOP yang akan dipakai di seluruh negara. Kita tidak mahu bahan mineral yang baharu ditemui itu diuruskan dengan cara tidak terurus. Kita hendak ada SOP.

"Sekarang ini kita sedang siapkan SOP untuk REE ini. NREE, non radioactive REE di Perak ada 100 ekar kita akan pastikan SOP ini untuk diamalkan di negeri yang ada elemen ini,” katanya di sini hari ini.

Mineral dan Galian | Kerajaan kaji SOP baharu, elak kerosakan


SOP baharu itu kata Takiyuddin dikaji susulan penemuan baharu REE di Perak, Kedah dan juga Kelantan.

Jelas Takiyuddin lagi, pengendalian hasil dalam bumi sebelum ini tidak jelas SOPnya sehingga mendorong berlakunya kerosakan alam dan struktur bumi.

Beliau berkata, SOP itu juga sebagai garis panduan untuk perlombongan dan penerokaan termasuk penggunaan jentera perlombongan.

Terdapat kerosakan muka bumi kerana penggunaan jentera yang tidak sesuai di kawasan perlombongan.

Takiyuddin juga berkata pada masa sama, ianya untuk mengelakkan berlaku salah guna permit dan penerokaan kawasan hutan dan muka bumi secara haram dan tidak bertanggungjawab.

Menyentuh mengenai bidang kuasa tanah antara negeri dan Persekutuan, Takiyuddin menjelaskan bidang kuasa tanah terletak di bawah Kerajaan Negeri, namun kerajaan Pusat mempunyai kuasa dalam menentukan catuan pemberian lesen mengikut Majlis Tanah Negara serta mengikut Dasar Perhutanan Negara.

Takiyuddin berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas menyampaikan bantuan komputer riba kepada pelajar  cemerlang Maahad Muhammadi perempuan di sini hari ini.