LENGGONG: Kampung Beng, yang terkenal sebagai Mini Amazon Malaysia, telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kampung Beng memiliki kelebihan tersendiri kerana mempunyai tapak warisan arkeologi bertaraf dunia serta flora dan fauna yang bernilai tinggi.

"Di sini juga ada tapak warisan arkeologi bertaraf UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang diiktiraf sejak 2012.

"Oleh kerana potensinya yang cukup besar, kita jadikan sebagai Kampung Angkat MADANI dan kita naik taraf beberapa perkara yang kita anggap penting," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI KDN Kampung Beng di sini pada Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Saifuddin berkata RM2.5 telah diperuntuk kepada kampung itu membabitkan penambahbaikan bagi enam kemudahan asas yang diberi penekanan iaitu air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian Internet.

Kampung Beng terdiri daripada enam perkampungan kecil iaitu Kampung Durian Lubuk, Kampung Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Kampung Batu Ring.

Saarani, ketika berucap pada majlis itu, berkata antara projek yang akan dilaksana oleh KDN di Kampung Beng ialah menambah baik bekalan air bersih dan melengkapkan kemudahan Internet asas.

"Pelaksanaan inisiatif ini sangat tepat pada masanya kerana sebilangan penduduk Kampung Beng masih menggunakan air bukit untuk mendapatkan air bersih," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, Kampung Beng terkenal dengan inap desa di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selain merupakan antara produk utama Tahun Melawat Perak 2024.

Saarani berkata Kampung Beng, yang turut mengetengahkan keunikan sejarah dan keindahan alam semula jadi di Lenggong sebagai tarikan utama pelancong, memerlukan liputan Internet serta kemudahan air lebih baik untuk penduduk dan pelancong.

"Tapak Arkeologi Lenggong yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 dan landskap semula jadi yang menakjubkan seperti Tasik Raban, Gua Badak serta Hutan Lipur Banding adalah antara kekuatan Lenggong sebagai destinasi pelancongan utama di Perak," katanya.

Beliau berkata KDN juga berhasrat membina sebuah balai polis bagi meningkatkan kemudahan keselamatan bukan sahaja kepada penduduk malah kepada pelancong yang berkunjung ke Lenggong.

Saarani berkata jajaran sempadan laut dan darat mendedahkan Perak kepada pelbagai ancaman keselamatan kerana Perak mempunyai satu pintu masuk darat iaitu melalui kawasan di Pengkalan Hulu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa kekuatan daripada aspek pelancongan serta potensi perindustrian di daerah yang bersempadan dengan Thailand membolehkan wujudnya kerjasama antara kedua-dua negara.

"Namun suka untuk saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya tidak sesekali berkompromi dalam soal keselamatan negeri.

"Oleh itu, penambahbaikan infrastruktur serta aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan di pintu-pintu sempadan mestilah ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebolehoperasian dan kesiapsiagaan mereka sentiasa berada pada tahap yang paling tinggi," katanya.

-- BERNAMA