KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjadikan kemudahan sukan lebih mudah diakses oleh orang ramai.


Ringkasan AI
  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk memudahkan akses kemudahan sukan dengan mengurangkan bayaran lesen gimnasium, e-sukan, dan pusat snuker.
  • KBS giat mempromosikan sukan untuk warga emas melalui kesedaran persatuan sukan dan menggalakkan mereka mencuba sukan baru serta mempertimbangkan pengecualian bayaran masuk untuk warga emas dan orang kurang upaya.
  • Pasukan e-sukan 'senior' pertama Malaysia, Team eMas, telah dilancarkan dengan anggota berumur 50 tahun ke atas.


Menterinya Hannah Yeoh berkata antara yang dibincangkan ialah pengurangan bayaran lesen bagi gimnasium, e-sukan dan pusat snuker, yang dilihat lebih tinggi berbanding restoran makanan segera.

Beliau berkata sesi perjumpaan telah diadakan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 12 majlis tempatan di Selangor bagi membincangkan perkara itu.

"Langkah seterusnya bagi mereka ialah melihat kepada pindaan undang-undang kecil untuk mencerminkan senario sukan semasa. Kini kita mempunyai 103 sukan yang diwartakan, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lepas, dan sukan semakin berkembang.

"Pada masa lepas, e-sukan tidak dianggap sebagai sukan, dikaitkan dengan permainan dan kafe siber. Kini ia adalah sukan yang membawa pulang pingat untuk Malaysia. Pusat e-sukan dikenali sebagai kafe siber pada tahun 90-an dan dikenakan kadar komersial," katanya.

"Contoh lain ialah snuker. Ia adalah sukan yang diwartakan tetapi masih berada di bawah segmen hiburan dalam undang-undang kecil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Boomers2Gamers, pertandingan e-sukan untuk warga emas di sini hari ini.

Sementara itu Hannah berkata kementerian juga giat mempromosikan sukan untuk warga emas dengan mewujudkan kesedaran melalui persatuan sukan dan menolak stereotaip, menggalakkan mereka mencuba sukan baharu untuk kekal aktif dan sihat selepas bersara.

Beliau berkata walaupun pihak berkuasa tempatan membuka lebih banyak kemudahan kepada orang ramai, mereka juga harus mempertimbangkan untuk mengecualikan bayaran masuk untuk warga emas dan orang kurang upaya.

"Peringkat seterusnya ialah kebolehcapaian, bukan hanya mempromosikan kesedaran. Bagaimana warga emas yang tiada pendapatan lagi boleh membayar sewa gelanggang? Jika anda mahu mereka mengambil bahagian, ekosistem kini mesti menjadikannya mampu milik.

"KBS pasti akan melibatkan diri dengan kementerian yang berbeza seperti Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, untuk melihat bagaimana kita benar-benar boleh memperkasakan orang ramai di seluruh Malaysia. Kami berada di peringkat awal sekarang," tambahnya.

Terdahulu Hannah merasmikan pasukan e-sukan 'senior' pertama Malaysia yang dikenali sebagai Team eMas, dianggotai oleh Nahar Ludhfi Johari, Lim Ai Peng, Johan Arifin, Yap Kok Hin, Ahmad Zamzuri Sapuan, dan Linda Tee - kesemuanya berumur 50 tahun ke atas.

-- BERNAMA