Kastam Sabah rampas lebih 20 kilogram dadah di gudang kargo
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 20.29 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM649,440 di gudang MASKargo di sini pada 30 Ogos lepas.
Bernama
Wed Sep 04 2024
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup. - Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 20.29 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM649,440 di gudang MASKargo di sini pada 30 Ogos lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Siti Mang berkata kesemua dadah yang disembunyikan dalam bungkusan plastik kuning keemasan dikesan pegawai kastam kargo udara, Pasukan Cawangan Narkotik Zon Sabah kira-kira pukul 9 pagi.
"Terdapat 20 bungkusan plastik kuning keemasan disyaki mengandungi dadah berbahaya. Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemui sejumlah dadah jenis methamphetamine atau syabu.
"Semua dadah dibungkus menggunakan plastik warna kuning keemasan dipercayai dengan tujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa. Kes ini kini sedang dalam siasatan lanjut untuk mengesan sebarang jaringan sindiket lebih besar," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata modus operandi kes ini adalah menggunakan bungkusan plastik warna kuning keemasan dengan jenama teh cina yang cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui kargo udara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sementara itu, Siti berkata aktiviti penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Siti seterusnya menyarankan orang ramai supaya bekerjasama memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat ke Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.