Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengadakan satu Sesi Taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng di The Katerina Hotel, Batu Pahat, Johor pada 22 Sept.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata taklimat yang bermula jam 9 pagi itu diadakan bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada pihak-pihak industri yang akan terlibat dengan pelaksanaan SST.

"Ianya merupakan satu langkah proaktif pihak JKDM untuk memberikan penerangan yang berkesan bagi memastikan pelaksanaan SST dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau yang juga akan menghadiri taklimat itu berkata syarikat berdaftar di bawah SST adalah dijemput untuk menghadiri taklimat berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Nur Hadfina Hadyan Azizan di talian 019-448 6522 atau Hasmanita Che Hassan di talian 019-712 5712. -- Bernama