Sesungguhnya tidak lengkap sesebuah perayaan tanpa insan tercinta berada di sisi, tetapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi apabila berada di sebalik tirai besi.
Pesalah tetap pesalah, namun mereka juga manusia.
Atas nama cinta, pintu Penjara Wanita Kajang dibuka untuk memberi ruang kepada keluarga masuk bagi bersama meraikan permulaan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga mereka yang menjadi penghuni penjara itu.
Jika selalunya pertemuan mereka dipisahkan dengan dinding kaca dan berbicara menerusi telefon, kali ini mereka dapat bertentang mata, bersalam dan berpelukan melepaskan rindu yang sekian lama terbuku di hati.
Seawal jam sembilan pagi, Jenny (bukan nama sebenar) sudah menunggu ibu, bapa, kakak, suami dan anaknya.
Makanan dan minuman sudah tersusun rapi di atas meja, dan lagu perayaan juga mula dimainkan di kanopi yang dipasang di kawasan antara pagar masuk utama dengan penjara, sedia menerima kehadiran ahli keluarga.
Pengarah Penjara Wanita Kajang, PKK Zamiah @ Zaimiah Parman bersama pegawai kanannya menuju ke program Jalinan Kasih sempena Tahun Baru Cina 2017 - Gambar Astro AWANI / Israr Khalid
Seketika kemudian, dia nampak kehadiran anaknya yang didukung suaminya dari jauh, berjalan menuju pagar besar. Terujanya tidak terkata, tersenyum dan melambai sementara menanti mereka melepasi pemeriksaan keselamatan.
Terbuka sahaja pintu pagar, terus didakap dan dicium sepuas-puasnya anak itu yang kali terakhir disentuhnya sembilan bulan lalu.
Ketika itu, dia baru sahaja habis pantang melahirkan anak lelaki sebelum dihukum penjara atas kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Walaupun ahli keluarganya datang melawat setiap bulan, ia tidak sama dengan detik itu, saat yang amat dinanti-nantikannya sejak hari pertama dipenjara.
Mereka makan bersama sambil berbual, bercerita, bergurau dan menghabiskan sebahagian besar masa bersama anaknya.
Dia yang kurang mahir berbahasa Melayu, hanya mampu menyampaikan rasa gembiranya dengan berterima kasih kepada pihak penjara atas peluang yang diberikan juga layanan baik sepanjang menghuni tempat itu.
"Banyak happy, tapi ada fikir juga lagi takut mereka boleh masuk ke, berjaya ke ini program. Ada fikir la," kata remaja berusia 27 tahun yang berasal dari Klang, Selangor itu.
"Lagi tak tau nak cakap apa perasaan...bagus program ini boleh jumpa family, lagi rasa penting family saya," luahnya, disusuli air mata deras membasahi pipinya.
Jenny (bukan nama sebenar) berbual dengan suaminya - Gambar Astro AWANI / Israr Khalid
Jenny ada sembilan bulan lagi untuk bebas, dan setiap hari dia menghitung waktu untuk kembali ke pangkuan keluarga, bersama suami menjaga anak mereka dan ibu bapanya.
Di sebelah mejanya, duduk Chan (bukan nama sebenar) bersama keluarganya.
Dia dipenjara empat bulan lepas kerana didapati bersalah pecah amanah, dan hari ini dia tidak menyangka keluarganya akan masuk dan bertemu dengannya dengan lebih rapat.
"Saya tak tahu pun saya terpilih, pagi tadi baru mereka (kakitangan penjara) panggil saya.
"Sudah tahu mereka akan datang, semalam juga datang. Saya ingat macam perjumpaan biasalah sebab dua hari kan open day Chinese New Year," kata wanita dari Ipoh, Perak itu.
Tidak seperti jelasnya kegembiraan Jenny bertemu anaknya, Chan kelihatan tenang sepanjang bersama keluarganya namun keterujaan dan kegembiraan pada raut wajahnya gagal disembunyikan.
Berkongsi cerita, Chan menyatakan bahawa hari pertama Tahun Baru Cina tempoh hari merupakan hari yang paling sayu buatnya.
Selama 35 tahun usianya, itulah kali pertama dia terlepas merayakan tahun baru bersama keluarga dan sanak saudara.
"Kali ini memang misslah, tak dapat makan, tak dapat bersama saudara mara setahun sekali kan, mereka datang rumah visit-visit kan, so tak dapat lalui semua itu lah bersama sanak saudara semua.
"Tapi masa first day dan second day pihak penjara ada menyediakan macam nasi minyak dengan limau mandarin untuk semua penghuni di sini. First day itu rasa happy juga sebab penghuni di sini semua berbilang kaum kan, mereka nampak saya semua wish selamat Tahun Baru Cina. Masa riadah sama-sama kita nyanyikan lagu Tahun Baru Cina sama-sama lah.
"Tapi memanglah teringat pada family, if Chinese New Year memang teringat family memang teringat juga. Jadi memang nanti-nantikan kehadiran mereka," ceritanya.
Chan (bukan nama sebenar) tidak menyangka dapat bertemu dengan keluarganya secara lebih rapat - Gambar Astro AWANI / Israr Khalid
Pertemuan keluarga dan penghuni turut dihadiri Pengarah Penjara Wanita Kajang, PKK Zamiah @ Zaimiah Parman yang bersyukur program pertemuan itu dapat sekali lagi diadakan bagi tahun kelapan.
"Alhamdulilah pagi ini kami dapat melaksanakan program Jalinan Kasih, di mana banduan-banduan terpilih diberi peluang untuk berjumpa dengan keluarga secara bersemuka.
"Diharap program ini juga akan memberi motivasi dan perangsang kepada penghuni-penghuni lain untuk terus berkelakuan baik sepanjang tempoh pemulihan," katanya.
Dengan bermulanya tahun baharu, Chan berharap ia akan memberi sinar harapan buatnya untuk melupakan kenangan hitam dan memulakan lembaran hidup yang lalu.
"Dalam hidup saya tak ada apa saya mahu lah, cuma memang harap ibu bapa saya sentiasa sihat dan panjang umur.
"Tahun ini tahun ayam, saya harap bagi luck pada saya. Hope saja dapat bebas awal, itu memang harapan saya setiap hari," katanya sambil tersenyum kecil.
Sejam telah berlalu, dan petugas serta pegawai memaklumkan ahli keluarga sudah tiba masa mereka untuk beredar.
Chan dan Jenny mengiringi keluarga mereka menuju ke pintu pagar besar. Mereka bersalaman, berpelukan dan mereka berpisah di situ. Pintu pagar besi dikunci rapi kembali.
Jenny mencium anaknya yang dikendong suami buat kali terakhir di celahan pagar besi, buat bekal sehingga pertemuan seterusnya yang entah bila akan tiba.
Chan melambai ahli keluarganya yang semakin menjauh, menitis air matanya lalu dikesat sebelum kembali menjalani hidup sendiri di sebalik tirai besi.
Israr Khalid
Tue Jan 31 2017
Sesungguhnya tidak lengkap sesebuah perayaan tanpa insan tercinta berada di sisi, tetapi itulah realiti berada di sebalik tirai besi. - Gambar Astro AWANI / Israr Khalid
Ops Tiris: KPDN Sarawak catat 119 kes, nilai rampasan lebih RM20 juta
KPDN Sarawak mencatatkan 119 kes yang melibatkan nilai rampasan sejumlah RM21.5 juta sejak pelaksanaan Ops Tiris 3.0 dari 1 Jan hingga 20 Nov lepas.
Bin Zayed International komited labur AS$2 bilion di Malaysia
BZI akan memanfaatkan hartanah, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan kewangan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
Negeri Sembilan bentang belanjawan berimbang 2025 RM590 juta - Aminuddin
Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2025 yang berimbang berjumlah RM590 juta dengan anggaran hasil pada jumlah yang sama dan perbelanjaan pembangunan mencecah RM135 juta.
MTL: Kerajaan Kelantan minta orang ramai elak lakukan aktiviti luar
Kerajaan Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti-aktiviti luar susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Lelaki Orang Asli ditemukan lemas di Sungai Tumboh
Mayat mangsa ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan berpakaian lengkap dan dipercayai tersangkut pada pokok liar.
AWANI Ringkas: Salah laku | RUU Pekerja Gig
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
10 Berita Pilihan - (22 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
AWANI Ringkas: 1MDB | Mahkamah | Bahan api
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Pelajar ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air di Kota Bharu
Muhamad Faris Mohd Nor berusia 14 tahun ditemukan di dasar tali air berkenaan pada kedalaman kira-kira lapan meter.
Tumpuan Sabtu – 23 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Kasih keluarga 'buka' pintu penjara di Tahun Baru Cina
Sesungguhnya tidak lengkap sesebuah perayaan tanpa insan tercinta berada di sisi, tetapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi apabila berada di sebalik tirai besi.