IPOH: Seorang pengasuh yang ditahan berhubung kes kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun akibat kecederaan kepala dipercayai terjatuh di rumahnya di Taman Cempaka, Ipoh pada Selasa, direman selama enam hari.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis.

Mahkamah membenarkan reman sehingga Selasa depan bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.


Pada Rabu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia semalam akibat kecederaan pada kepala dipercayai selepas terjatuh di rumah pengasuhnya.


Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa kanak-kanak itu kira-kira 7.20 malam Isnin selepas mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terjatuh di lantai di rumah pengasuhnya di sini.


Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pediatrik kira-kira 11.10 malam Selasa.


Bedah siasat yang dijalankan pagi Rabu mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada kepala akibat trauma tumpul.


Ekoran daripada itu, pengasuh yang merupakan wanita berusia 30 tahun telah ditahan untuk siasatan pada Rabu petang.