PASIR MAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam air di sebuah rumah di Kampung Cherang Melintang, Tumpat, pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Kanak-kanak Lemas: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam air di rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Cherang Melintang, Tumpat.
  • Kejadian dan Tindakan: Ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya pada malam kejadian dan menemui anaknya terapung di tingkat bawah rumah. Mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
  • Korban Banjir: Kanak-kanak tersebut merupakan korban ketiga banjir di Kelantan, selain dua lelaki yang juga meninggal dunia akibat banjir.


Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mangsa bersama ibunya tinggal di tingkat atas rumah dua tingkat, yang kawasannya dilanda banjir.

Beliau berkata kejadian yang berlaku pada 11.30 malam itu hanya disedari ibu selepas anaknya didapati tidak tidur di sisinya dan selepas mencari ditemukan mangsa terapung di tingkat bawah rumah.

"Ibu mangsa mendapati meja sofa yang digunakan untuk menghadang tangga ke tingkat bawah telah terusik.

"Ibu mangsa kemudian memanggil suaminya sebelum dibantu jiran untuk membawa keluar anaknya itu menggunakan perahu ke Jambatan Kubang Panjang, seterusnya dibawa ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata keluarga mangsa sebelum ini sudah diarah untuk berpindah namun tidak mahu berbuat demikian.

Bayi berkenaan merupakan korban ketiga mangsa banjir di Kelantan, selain seorang lelaki berusia 35 tahun terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki berusia 64 tahun di percayai lemas di Machang.

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun ramalan cuaca mengatakan hujan akan reda hari ini atau esok, namun perlu diingat air akan turun ke hilir yang akan memberi kesan kepada kawsan Tumpat dan Pasir Mas.

-- BERNAMA